Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
BENTONG, 28 APRIL 2025: Sebanyak 11 koperasi negeri ini berjaya menduduki senarai Top 100 Indeks Koperasi Terbaik Malaysia 2024, manakala 37 koperasi lagi tersenarai dalam kelompok Top 350 terbaik seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan membuktikan koperasi di negeri ini semakin berdaya saing di peringkat kebangsaan.

“Saya ingin merakamkan sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua koperasi dari Negeri Pahang yang berjaya menempatkan diri dalam senarai tersebut.
“Saya juga berharap lebih banyak koperasi dari negeri ini akan berjaya disenaraikan dalam Top 100 dan Top 350 pada tahun hadapan,” katanya dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Taklimat Top 100 dan Top 350 Malaysua dan Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik Negeri Pahang yang diadakan di Dewan Perdana Kompleks Penjara Bentong, Felda Mempaga, Karak, di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Puan Siti Azlin Ahmad Dauta; Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohammad Shahid Ismail dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Pahang, Tuan Ibrahim Husain.
Katanya lagi, antara koperasi yang mencatat kedudukan tertinggi ialah Koperasi Serbaguna Dara Berhad, yang berada di tempat ke-18 di peringkat kebangsaan.
“Kita amat berbangga kerana kedudukan koperasi-koperasi kita semakin baik. Walaupun sasaran kutipan RM1 bilion belum tercapai, pencapaian RM979 juta tetap membanggakan,” katanya.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Amizar turut memaklumkan terdapat sebanyak 125 koperasi tidak aktif direkodkan pada tahun 2024, dengan tumpuan kini diberikan kepada 30 koperasi yang berpotensi untuk dipulihkan.
“Kebanyakan koperasi tidak aktif ini berpunca daripada kelemahan dalam pengurusan kewangan. InsyaAllah, kita akan menilai semula dan membantu koperasi ini agar dapat kembali aktif,” katanya. -PAHANGMEDIA

