Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan dasar bagi kajian pelaksanaan projek pembangunan International Space Port yang akan dijalankan di Pekan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, pemeteraian surat hasrat (LOI) telah ditandatangani pada 15 April lepas.
“Kerajaaan negeri telah memberikan kelulusan dasar bagi kajian kebolehlaksanaan projek pembangunan International Space Port selama setahun kepada pemaju projek di atas tapak cadangan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang di Pekan. Cadangan projek ini adalah tertakluk kepada kelulusan di Jawatan Kuasa Angkasa Negara dan Majlis Pembangunan Fizikal Negara.
“Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah menandatangani Letter of Intent (LOl) bersama China Great Wall Industry Corporation (CGWIC) dan Lestari Angkasa Sdn Bhd bagi menjalin kerjasama strategik dalam pembangunan sektor teknologi angkasa di Malaysia pada 15 April 2025 dan disaksikan oleh YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang merangkap Pengerusi PKNP, serta YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang,” katanya.
Tambah beliau lagi, pihak PKNP akan mengadakan lawatan kerja ke China pada Mei depan bagi kerja merancang pembangunan projek tersebut di negeri ini.
“PKNP dan Lestari Angkasa Sdn Bhd juga akan mengadakan lawatan kerja ke Wenchang Space City, Hainan, China pada bulan Mei 2025 sebagai sebahagian daripada kajian kebolehlaksanaan dan kerja-kerja merancang pembangunan projek International Spaceport di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Tuan Chan Chun Kuang pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

