Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 11 APRIL 2025 : Pihak polis mengesahkan telah menerima tiga laporan berhubung operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Sungai Ruan setakat ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Supt. Mohd Shahril Abd Rahman, tiga laporan yang diterima tersebut melibatkan dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas oleh pihak Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
“Pada 10 April 2025 jam lebih kurang 10.15 pagi, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Pejabat Hutan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Raub, bersama pihak polis IPD Raub dan pasukan gerakan am (PGA) Batalion 7 telah disekat laluan oleh sekumpulan pekebun-pekebun haram yang diketuai oleh Ahli Parlimen Raub (Chow Yui Hui) dengan berdiri di tengah jalan raya Kampung Sungai Chalit, Raub, Pahang.
“Ini kerana rentetan daripada operasi penguatkuasaan pencerobohan tanah Kerajaan Negeri di daerah Raub dengan memusnahkan pokok-pokok tanaman durian haram bermula pada 8 April 2025 yang lalu.

“Sehingga kini, sebanyak tiga laporan polis telah dibuat mengenai kejadian dan kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan. UPNP membuat report atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata semasa kejadian pihak polis yang dibantu pihak PGA telah berjaya mengawal keadaan tanpa sebarang insiden tidak diingini daripada berlaku.
“Operasi ini diketuai oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang yang menyasarkan pemusnahan tanaman pokok durian yang berkeluasan lebih kurang 500 ekar di kawasan sekitar Sungai Ruan, Raub, Pahang. Jumlah anggota yang terlibat di dalam operasi ini adalah seramai 150 orang.
“Semasa kejadian, pekebun-pekebun haram (seramai lebih kurang 50 orang) telah bertindak menghalang laluan jalan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidak puas hati mereka kerana telah memusnahkan tanaman pokok durian secara haram yang disyaki telah di tanam sekitar 30 tahun yang lepas.

“Pihak polis IPD Raub bersama pasukan gerakan am Batalion 7 telah berjaya mengawal keadaan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang himpunan bantahan berkaitan operasi ini serta diminta menghormati keputusan yang telah dikeluarkan oleh mahkamah.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat di dalam mana-mana himpunan bantahan operasi pemusnahan tanaman pokok haram di daerah Raub.
“Serta menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan berkenaan permohonan semakan kehakiman bagi notis pengosongan tanah oleh pekebun durian Musang King di daerah Raub pada Julai 2024 lalu,” katanya.
Semalam tular di media sosial video Ahli Parlimen Raub di lihat bersama-sama pekebun haram telah menghalang petugas penguatkuasa operasi pemusnahan pokok durian haram Musang King di dua lokasi di pekan Sungai Chalit, dan di kawasan ladang haram di Sungai Ruan. -PAHANGMEDIA

