Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 APRIL 2025 : Kerajaan bersetuju untuk memulakan kerja awalan bagi lima buat projek pembangunan utama Negeri Pahang.
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan persetujuan berkenaan ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pahang bertempat di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Projek-projek tersebut adalah pembinaan persimpangan bertingkat Bukit Rangin, Jalan Kuantan-Chukai (FT03); penaiktarafan Jalan FT012 Kuantan Segamat sepanjang 51 kilometer; pakej enam bagi pembinaan lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) antara Karak dan Simpang Pelangai, Bentong; penaiktarafan jalan dari Kampung Padang ke persimpangan lampu isyarat LPT1 (Fasa 2); dan pembinaan baharu Klinik Kesihatan jenis tujuh berserta 10 unit kuarters Kelas F di Pos Lenjang, Lipis.

Mesyuarat berkenaan dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Komunikasi, YB. Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan YAB. Dato’ Seri Anwar menerusi Facebook miliknya memaklumkan mesyuarat berkenaan turut menyaksikan pembentangan pelbagai projek pembangunan dan perancangan jangka panjang yang merangkumi aspek infrastruktur asas seperti jalan raya, tebatan banjir, kesihatan, perkilangan serta perumahan.

Mesyuarat berkenaan juga menurutnya turut meneliti bilangan terkini warga miskin tegar di negeri ini yang dijangka akan dinoktahkan menjelang hujung bulan April.
“Saya percaya melalui perancangan dan pelaksanaan projek yang dirancang dengan teliti ia mampu membawa manfaat kepada warga Pahang serta limpahan pembangunan kepada negara,” katanya.
Beliau dalam masa sama turut menekankan kepentingan memperkukuh prestasi dan memperkemas prinsip tadbir urus yang baik dalam kalangan kepimpinan negeri demi melonjakkan Negeri Pahang dan Malaysia ke tahap lebih cemerlang dan bermakna. -PAHANGMEDIA

