Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 APRIL 2025 : YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelantikan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Penasihat Khas kepada Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan.
Pengumuman terbabit dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan bersempena Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 yang diadakan di Pantai Batu Hitam, di sini hari ini.
Pelantikan tersebut katanya adalah berikutan prestasi yang ditampilkan Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy selaku Menteri Besar yang membanggakan selain menyantuni rakyat dengan baik.

“Saya nak manfaatkan (prestasi) supaya beliau dapat bantu saya dan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) menjelajah ke seluruh negara menyantuni usahawan Bumiputera dan mencari kaedah dan jalan untuk meningkatkan martabat peniaga dan usahawan Bumiputera seluruh negara.
“Jawatan saya bagi ini pun tiada elaun. Kita bagi kemudahan untuk dia (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy) dengan bebas menjelajah ke seluruh negara,” katanya.
Majlis berkenaan selain turut dihadiri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid dan YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, ia turut dihadiri Menteri Komunikasi, YB. Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri.

Dato’ Seri Anwar juga berkata, hubungan baik antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan yang sangat baik harus dimanfaatkan sebaik mungkin.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam ucapannya turut merakamkan penghargaaan atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau.
“Saya harus dan wajib mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana telah memberi saya satu jawatan yang difikirkan sangat baik untuk membantu rakyat negeri Pahang dan juga rakyat luar Pahang. Terima kasih Dato’ Seri,” ujarnya.
Sementara itu, Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 itu turut mencatat kehadiran kira-kira 30,000 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat sekitar daerah ini. -PAHANGMEDIA

