Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
RAUB, 11 APRIL 2025 : Penduduk di sekitar Sungai Klau menyokong penuh tindakan penguatkuasaan oleh Kerajaan Negeri Pahang ke atas pekebun haram Musang King di daerah ini.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang (PGMP) Negeri Pahang, Encik Sazali Mansor, 65, beliau mewakili penduduk di Sungai Klau berharap operasi ini diteruskan sehingga Raub bebas daripada penceroboh haram.
“Kami menunjukkan sokongan dan solidariti kepada penguatkuasa yang telah menjalankan tugas dengan baik. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada penguatkuasa khususnya dari UPNP (Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang), penguasa tempatan, dan daripada KDN (Kementerian Dalam Negeri).

“Kita harapkan bukan setakat ini, kita harapkan berterusanlah sehingga Raub ini bersih daripada sebarang kawasan pencerobohan daripada orang yang tidak berkenaan. Ini kita punya kehendak,” katanya.
Tambahnya lagi, pekebun haram ini harus sedar dan akur dengan undang-undang yang telah ditetapkan selain menggunakan saluran yang betul sekiranya ingin mengusahakan tanaman di negeri ini.
“Mereka harus sedar, harus akur kepada undang-undang yang telah ditetapkan. Gunakanlah saluran yang betul andai kata ingin memohon. Jangan ceroboh tanpa sebab sedangkan tanah ini milik orang.
“Apa yang kita hendak lihat Raub ini bersih daripada penceroboh. Kami NGO dari Negeri Pahang juga menjunjung titah Sultan Pahang berkenaan isu ini pada Februari lepas.
“Kita juga mengharapkan penguatkusaan di mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang andai kata ada kalangan yang tidak bertanggungjawab cuba menghalang penjawat awam menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, menurut Pengerusi Belia Kampung Felda Lembah Klau, Encik Muhammad Izzam Abd Rahim, 38, mereka bersatu suara membantah aktiviti pencerobohan tanah secara haram di daerah ini.
“Kami bersatu suara membantah sekeras-kerasnya cara pencerobohan tanah haram yang berlaku dalam tanah air Raub ini. Jadi kami tampil bagi menyatakan sokongan kepada penguatkuasa dan seluruh anggota yang bertungkus lumus menjayakan hasil Kerajaan Negeri Pahang. Tak seharusnya perkara ini berlaku sebab mereka tampil atas dasar kerjaya yang diarahkan,” katanya.
Manakala bagi, Ayahanda Pekida Raub, Encik Mohd mujib Md. Sharif, 53, tindakan undang-undang dilihat perlu dikenakan kepada para penceroboh tanah secara haram sebagai cara mendidik masyarakat.
“Kita titik beratkan agar dapat undang-undang ditegakkan. Ambillah tindakan undang-undang kepada pihak tidak bertanggungjawab bagi mendidik, nak imbang jangan sampai berada dalam suasana tidak baik kepada masyarakat khususnya dan khasnya di Raub ini sendiri,” katanya.
Bagi Encik Syed Kharudin Syed Hamid, 65, yang mewakili penduduk Felda Lembah Klau, perhimpunan ini bukan untuk mencari gaduh tetapi sebagai tanda menyokong pematuhan undang-undang dan menghormati titah Sultan Pahang.
Satu perhimpuanan bagi menunjukkan solidariti kepada penguatkuasa pada operasi memusnahkan kebun durian Musang King haram di Sungai Ruan dan Sungai Klau bermula 8 April diadakan oleh badan bukan Kerajaan (NGO) dan penduduk setempat di Sungai Klau hari ini. -PAHANGMEDIA

