Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memohon peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi memperkukuhkan infrastruktur Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negeri ini, khususnya Akademi Rel Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebahagian besar daripada dana tersebut akan dimanfaatkan melalui inisiatif TVET untuk membangunkan kemudahan latihan komprehensif.
Katanya, ia juga akan dimanfaatkan untuk memperkasakan latihan tenaga pengajar dan melaksanakan program kemahiran tinggi sejajar keperluan industri rel global.

“Dana ini turut meliputi pembangunan fasiliti berteknologi tinggi dan pelaksanaan program khas bersama rakan strategik industri rel antarabangsa,” katanya ketika berucap bersempena Majlis Pelancaran Akademi Rel Pahang yang berlangsung di Dewan Utama Yayasan Pahang, di sini hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Majlis turut dihadiri YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Tambah beliau, peruntukan ini selari dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab logistik dan pengangkutan serantau, khususnya dengan pelaksanaan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang rel dan teknologi pintar.
“Peruntukan ini bukan sahaja menyokong pembangunan fizikal dan teknologi, malah membuka ruang bagi pelaksanaan program latihan berkualiti tinggi, termasuk kolaborasi rentas negara dengan institusi serta pemain utama industri rel di peringkat global.
“Sesungguhnya ini merupakan satu langkah ke hadapan yang bukan sahaja memperkukuh kedudukan UCYP University sebagai antara institusi pendidikan yang berimpak tinggi, malah memberi nilai tambah kepada landskap pendidikan TVET di Negeri Pahang,” ujarnya.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, Kerajaan Persekutuan sedang menunggu surat rasmi daripada pihak Kerajaan Negeri berhubung permohonan terbabit untuk tindakan selanjutnya.
“Saya menunggu surat rasmi dihantar kepada saya dan insyaAllah saya akan usahakan untuk memenuhi keperluan UCYP ini,” katanya.
Dalam pada itu, Akademi Rel Pahang yang ditubuhkan sebagai inisiatif strategik negeri turut disokong oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan Malaysia Rail Development Corporation (MRDC).
Akademi berkenaan berperanan penting dalam membentuk masa depan industri rel melalui program latihan berstruktur yang merangkumi kemahiran praktikal, teori, sahsiah dan kepimpinan. -PAHANGMEDIA

