Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 APRIL 2025: Akademi Rel Pahang (ARP) oleh Universiti Kolej Yayasan Pahang (UCYP) disifatkan sebagai pemangkin dan peneraju kepada pendidikan formal dalam bidang industri rel negara.
Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan ARP juga merupakan satu langkah tepat dalam memperkasakan sektor pengangkutan rel negara secara lebih menyeluruh dan tersusun.
“Walaupun krusus dalaman Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah diadakan untuk pegawai-pegawai dan tenaga kerja baharu, tapi secara formalnya, Akademi Rel Pahang ini adalah pemangkin dan peneraju kepada pendidikan formal dan peneraju dalam bidang rel ini.

“Ini pujian yang harus diberikan kepada UCYP atas pengwujudan akademi ini,” katanya dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Akademi Rel Pahang yang berlangsung di Dewan Utama Yayasan Pahang, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid juga berkata, pembentukan akademi secara formal amat penting sebagai pusat rujukan utama dalam melahirkan tenaga profesional berkemahiran tinggi dalam industri tersebut.
“Sebenarnya dalam bidang industri rel ini kita tidak seharusnya bergantung kepada tenaga luar.
“Sejarah kewujudan sistem kereta api di negara ini sudah bermula sejak tahun 1880, maka sepatutnya akademi rel ini telah lama diwujudkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau juga berkata, negara sudah memiliki piawaian antarabangsa yang boleh dijadikan panduan dalam pengurusan rel iaitu International Standard for Railway Management.
“Kita hanya perlu mengikut piawaian yang telah ditentukan itu agar guna tenaga yang dikeluarkan dari akademi rel pahang dan lain-lain institusi dalam pengurusan rel ini bukan hanya dapat digunakan untuk keperluan domestik, untuk industri ini, tetapi mungkin kita boleh eksploitasi tenaga berkemahiran ini ke luar negara kelak.” katanya.
Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan surat tawaran dan sijil penyertaan kepada 10 pelatih ARP dan Program Latihan Pensijilan Pengangkutan Rel dengan kerjasama Liuzhou Railway Vocasional Technical College (LRTVC).
Majlis turut menyaksikan pertukaran dokumen memorundum persefahaman (MoU) antara UCYP University dan LRTVC, China Communications Construction ECRL Sdn. Bhd., Malaysia Rail Development Corporation (MRDC), dan Malaysia Digital Economi Corporation (MDEC). -PAHANGMEDIA

