Oleh: Norhafizan Zulkifli & Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 5 APRIL 2025: Kerajaan Pahang kesal dengan tindakan segelintir pihak yang masih bertindak membuang sampah disepanjang bahu jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) ketika menggunakan laluan itu sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Tidak hanya itu, ada antara pengguna juga dikatakan bertindak melakukan vandalisme ke atas kemudahan yang disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R) sementara yang disediakan di sepanjang laluan terbabit.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara sedemikian merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan namun hanya segelintir golongan sahaja yang bersikap sedemikian.
“Itu (buang sampah dan vandalisme) adalah satu perkara yang kita tidak dapat elakkan tetapi ianya sangat minima. Dan kita harus terus memberi pengajaran… kena didik mereka supaya kesedaran sivik itu tinggi,” katanya kepada media ketika Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Jelai, bertempat Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam.
Tambah YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy lagi, tindakan vandalisme yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu akan merugikan tidak hanya Kerajaan Negeri, tetapi juga rakyat.
“Ini adalah harta kerajaan… kerosakan ini juga akan menyebabkan kerajaan terpaksa berbelanja untuk baik pulih dan juga menggunakan duit kerajaan.
“Duit kerajaan itu maknanya duit rakyat juga, jadi kalau kita boleh elak ataupun kita boleh minimakan,” katanya lagi.
Beliau justeru itu menggesa agar pengguna LTU menggunakan segala kemudahan yang disediakan di sepanjang laluan berkenaan dengan berhemah.
“Kerajaan Negeri menyediakan R&R sementara tujuannya selain daripada untuk mengelakkan kemalangan ialah supaya pemandu dapat berehat, untuk kegunaan lain seperti menukar lampin bayi, pergi ke tandas dan bersembahyang.
“R&R sementara itu boleh menyelesaikan masalah sementara waktu. Daripada sementara itu, kita akan buat yang tetap,”ujarnya.
Dalam pada itu YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berharap agar pengguna jalan agar bersabar menghadapi kesesakan lalu lintas ketika musim perayaan memandangkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka siap menjelang hujung tahun hadapan.
“Saya jangkakan kita akan menghadapi kesesakan lalu lintas sekali lagi musim perayaan kerana selepas itu kita akan siap kereta api laju (ECRL) pada akhir tahun depan 2026 dan akan beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2027, jadi pengguna ada pilihan lain.
“Saya tidak mengatakan masalah keselesaikan lalu lintas ini diselesaikan 100 peratus tetapi dapat meminimakan masalah keselesaikan lalu lintas,” katanya lagi.-PAHANGMEDIA

