Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 03 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyerahkan sumbangan awal kepada Puan Zurina Mohd Isa yang merupakan salah seorang mangsa yang terjejas dalam kejadian kebakaran saluran paip gas Petronas di Putra Heights, Selangor.
Bantuan tersebut disampaikan oleh Pegawai Sekretariat Perantau Anak Pahang, Encik Syed Anas Dato’ Sri Syed Ali kepada Puan Zurina ketika melawatnya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Height hari ini.
Menurut Puan Zurina, 49, yang berasal dari Jengka 8, dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas keprihatinan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail ke atas dirinya dan keluarga.

“Saya sebenarnya speechless, tak sangka. Alhamdulillah terima kasih banyak kepada Menteri Besar Pahang atas prihatin dan bantuan untuk kami untuk mulakan balik kehidupan kami nanti.
“Untuk guna untuk sekolah, dan apa yang perlu, yang basic. Terima kasih banyak-banyak. Moga Allah rahmati, berkati, lipat gandakan lagi, makmurkan Pahang,” katanya yang bekerja di kilang elektronik.
Kongsi Puan Zurina, dia yang telah lapan tahun tinggal di situ, mendapat tahu berkenaan perkara tersebut daripada jirannya memandangkan dia dan keluarga pulang beraya di kampung.

“Kami semua balik beraya di Jengka dan bila kejadian ini berlaku, saya dapat call daripada jiran, kami semua memang tinggal sederet, dah confirmkan ada kebakaran, kita memang terus balik.
“Saya balik berdua dengan husband, anak-anak saya empat orang tinggal dahulu di kampung sebab nak settlekan semua di sini dulu. Mohon doakan kami terus diberi kekuatan dan sihat untuk menghadapi ujian ini,” katanya sambil menahan sebak.
Terdahulu media dalam kejadian pada Selasa lepas melaporkan secara keseluruhan 237 rumah terjejas manakala 305 orang cedera akibat melecur dan tersedut haba panas selain melibatkan kebakaran 365 kenderaan iaitu 275 kereta dan 56 motosikal.
Seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terlibat dalam insiden itu dan mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Masjid Putra Height serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia). -PAHANGMEDIA

