Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 14 MAC 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menitahkan Kerajaan Negeri Pahang meneruskan dan memperbanyakkan program kesihatan dan fizikal melibatkan semua lapisan masyarakat di negeri ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda bertitah demikian bagi melihat negeri ini terus berkembang dalam semua segi termasuklah kesihatan.
“Kepada Kerajaan Negeri, teruskan dan perbanyakkan lagi program-program kesihatan dan fizikal yang melibatkan seluruh rakyat di pelbagai lapisan.
“Saya ingin melihat Negeri Pahang terus berkembang bukan hanya dari segi pembangunan material tetapi juga dari segi kesihatan, kecergasan, dan kesejahteraan rakyatnya,” titah baginda.
Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan kegusaran berkenaan tahap kesihatan rakyat di negeri ini yang berada pada tangga kelima tertinggi kadar kematian pramatang di negara ini.
“Saya meneliti dengan penuh kebimbangan akan keadaan kesihatan rakyat di negeri ini. Berdasarkan laporan terkini daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan KKM, Pahang merupakan negeri kelima tertinggi kadar kematian pramatang. Kematian pramatang bermaksud mati sebelum mencapai umur 75 tahun iaitu purata jangka hayat rakyat Malaysia.
“Pada tahun 2022 sahaja, sebanyak 5,206 kes kematian pramatang telah direkodkan di negeri ini. Tiga punca utama kematian ini adalah berpunca daripada serangan jantung, radang paru-paru, dan strok.
“Tambahan pula penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi, dan kolestrol tinggi telah mengakar sebagai musuh dalam selimut yang perlahan-lahan meragut kesejahteraan masyarakat,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah dalam titah turut mengingatkan orang ramai untuk menjaga kesihatan kerana kesihatan bukan sekadar milik peribadi tetapi juga satu bentuk tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat, dan negeri.
“Bagaimana mungkin kita memejamkan mata apabila kadar diabetes di Pahang meningkat daripada 11,976 kes pada tahun 2020 kepada 34,819 kes pada tahun 2024?
“Bagaimana mungkin kita membisu apabila jumlah pesakit tekanan darah tinggi melonjak kepada 72,625 kes dalam tempoh yang sama? Semuanya berpunca daripada faktor pemakanan dan gaya hidup harian.
“Saya tidak mahu melihat Negeri Pahang menjadi negeri yang dipenuhi oleh rakyat yang lemah disebabkan penyakit yang berpunca daripada kelalaian diri sendiri,” titah baginda.
Baginda dalam titah turut mengingatkan orang ramai supaya menjadikan Ramadan sebagai titak perubahan mendidik tubuh badan menjadi lebih sihat dan cergas demi kehidupan lebih bermakna.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Surau Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands serta Majlis Berbuka Puasa bersama warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di IPD Cameron Highlands.
Mengiringi keberangkatan Paduka Baginda, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan Ketua Polis Pahang, YH CP Dato’ Seri Yahaya Othman. -PAHANGMEDIA

