Oleh : Ain Nadhirah Basha
CAMERON HIGHLANDS, 14 MAC 2025 : Kerajaan Negeri Pahang dalam proses menubuhkan Majlis Rekreasi Pahang bagi mempergiatkan lagi pelaksanaan program sukan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata majlis tersebut dinaungi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
“Patik menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang agar Kerajaan Negeri Pahang mempergiatkan lagi pelaksanaan program-program sukan dan rekreasi yang bertujuan memperkukuh gaya hidup sihat di kalangan rakyat di negeri ini khususnya di kalangan orang muda.
“Dan Kerajaan Negeri Pahang sebenarnya memang dalam fokus untuk mempergiatkan pelaksanaan program sukan dan rekreasi. Yang terbaharu kita sedang berusaha menubuhkan Majlis Rekreasi Pahang yang dinaungi sendiri oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, serta penasihatnya adalah YAB. Menteri Besar Pahang.
“Majlis ini akan berperanan melaksanakan aktiviti sukan dan rekreasi yang lebih berfokus,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut bertitah agar cabaran Mara Lasak seperti yang dijalankan di Ulu Dong, Raub baru-baru ini dilaksanakan di setiap daerah di negeri ini.
“InsyaAllah selepas daripada ini akan ada lebih banyak lagi program seumpamanya akan dilaksanakan di Negeri Pahang,” katanya.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sebelum ini bertitah agar Kerajaan Negeri Pahang meneruskan dan memperbanyakkan program kesihatan dan fizikal melibatkan semua lapisan masyarakat di negeri ini bagi memastikan negeri ini terus berkembang dalam semua segi termasuklah kesihatan. -PAHANGMEDIA

