Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 14 MAC 2025 : Pembinaan Surau Al-Amin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands mencerminkan nilai perpaduan dan keharmonian antara kaum di negeri ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dalam titah turut merakamkan penghargaan kepada LBS Bina Group Berhad yang telah membiayai pembinaan surau dengan kos sebanyak RM5 juta.
“Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih khususnya kepada LBS Bina Group Berhad yang telah berbesar hati membiayai keseluruhan pembinaan rumah ibadat yang bernilai RM5 juta ini.
“Usaha murni ini bukan sahaja memberi manfaat kepada anggota polis dan masyarakat setempat tetapi juga mencerminkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Lebih daripada itu, usaha ini mencerminkan nilai perpaduan dan keharmonian antara kaum serta agama yang menjadi tunjang kestabilan dan kesejahteraan negeri ini,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah kebersamaan pihak bukan Islam yang memberi sumbangan kepada pembangunan institusi Islam mencerminkan keindahan hidup bermasyarakat di Negeri Pahang.
“Islam adalah agama yang membawa rahmat bagi sekalian alam dan sifat keterbukaan serta tolong menolong dalam kebaikan inilah yang menjadi asas kepada sebuah masyarakat yang makmur dan harmoni. Rasulullah SAW sendiri bersabda, sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.
“Sesungguhnya keberadaan pihak bukan Islam yang turut menyumbang kepada pembangunan institusi Islam adalah satu cerminan indahnya kehidupan bermasyarakat di negeri ini.
“Ia membuktikan bahawa nilai kebersamaan dalam berbakti kepada masyarakat, tidak terbatas kepada agama dan bangsa tetapi merupakan tanggungjawab bersama demi kemaslahatan sejagat,” titah baginda.
Baginda turut menzahirkan harapan supaya lebih banyak syarikat dan organisasi dapat turut serta dalam melaksanakan inisiatif CSR yabv memberi manfaat kepada pembangunan setempat.
“Saya berharap agar lebih banyak syarikat dan organisasi turut serta dalam melaksanakan inisiatif CSR yang membawa manfaat kepada pembangunan setempat khususnya dalam aspek kebajikan, pendidikan, dan keagamaan.
“Semoga usaha baik ini mendapat ganjaran dan menjadi inspirasi kepada semua untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Surau Baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands serta Majlis Berbuka Puasa bersama warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di IPD Cameron Highlands.
Mengiringi keberangkatan Paduka Baginda, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut berangkat, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; dan Ketua Polis Pahang, YH CP Dato’ Seri Yahaya Othman. -PAHANGMEDIA

