Oleh : Ain Nadhirah Basha & Safiah Hanani Norhalizan
KUANTAN, 10 MAC 2025 : “Syukur sangat-sangat, rezeki anak baik,” kongsi Puan Fatimah Abdullah, ibu kepada mangsa lemas yang menerima Pencen Penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Pahang.
Menurut Puan Fatimah, 46, dia tidak menyangka sama sekali pemergian Afzan Syahmi Zabidi, 22, yang merupakan anak ketiga dari lima beradik ini akan turut meninggalkan bantuan kepada keluarga.
“Memang tak sangka. Itulah syukur sangat-sangat, rezeki anak yang baik. Alhamdulillah syukur sangat-sangat. Waktu arwah ada, memang dia bagi duit bulan-bulan, untuk saya emaknya asing, untuk adik-adik sekolah asing.
“Pihak PERKESO ada hubungi kami tiga hari lepas. Memang tak jangka langsung akan dapat (pencen penakat) ini. Ini rezeki daripada Allah yang tak dijangka,” katanya.

Sementara itu, menurut bapa arwah Afzan Syahmi, Encik Zabidi Abdullah, 52, penyerahan pencen dan bantuan daripada PERKESO ini tidak dijangka dan disifatkan sebagai pengorbanan anak yang telah tiada.
PERKESO Negeri Pahang diwakili Pengarahnya, Encik Hisham Abdul Rahman telah menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000 secara sekali bayar serta Pencen Penakat kepada waris.
Menurut Encik Hisham, ibu dan bapa arwah Afzan Syahmi serta dua adiknya yang berusia 15 tahun dan 18 tahun layak menerima faedah ini memandangkan dia syarat kelayakan sebagai pencarum bagi waris untuk membuat tuntutan.
“Untuk kes ini faedah penakat yang diterima ibu bapa sepanjang hayat dan dua adik arwah sehingga berumur 21 tahun atau berkahwin yang mana dahulu adalah sebanyak RM670 sebulan.
“Jumlah ini bergantung kepada gaji dan caruman yang dibayar. Maknanya kalau gaji besar, caruman dibayar lebih besar, maka PERKESO akan bayar faedah lebih besar,” katanya.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang turut memberikan bantuan khidmat kaunseling selain kit makanan kering sebagai bantuan kepada keluarga.
Beliau turut mengingatkan orang ramai berkenaan pentingnya caruman PERKESO kepada setiap individu yang bekerja sebagai bantuan kepada situasi yang tidak dijangka.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad. -PAHANGMEDIA

