Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 10 MAC 2025 : Peniaga di bazar Ramadan negeri ini diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dengan menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang berkata, tindakan sewajarnya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) akan diambil sekiranya peniaga gagal mematuhi peraturan tersebut.
“Hari ini kita pantau beberapa tempat di bazar Ramadan. Tujuan pemantauan ini adalah untuk melihat dari segi harga, kebersihan, dan tanda harga.
“Setakat ini, kita merasakan agak berpuas hati (hasil tinjauan), walaupun ada peniaga yang melanggar sedikit peraturan seperti paparan harga yang tidak mengikut kriteria yang ditetapkan. Sedikit kesalahan, tapi kita cuba ajar peniaga untuk memperbetulkan kesalahan terbabit.
“Dari segi kebersihan, agak memuaskan. Jadi, kita harap perkara ini dapat dikekalkan di bazar Ramadan sekitar Kuantan dan harap harga yang dijual tidak melebihi kadar sepatutnya.

“Jika didapati harga yang dijual melebihi kadar sepatutnya, kita akan kenakan tindakan di bawah AKHAP. Jadi, saya berharap peniaga sentiasa berjaga-jaga tentang perkara ini,” katanya selepas melakukan tinjauan ke beberapa bazar Ramadan di sekitar Kuantan hari ini.
Tambahnya, setakat ini tiada aduan yang diterima dan tiada kompaun dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang sejak sembilan hari bazar Ramadan di seluruh negeri ini beroperasi.
“Setakat ini, kita tidak terima sebarang aduan atau kompaun dikeluarkan. Kita sentiasa memantau seluruh Pahang. Saya harap kita kekal macam ini.
“Cuma terdapat air dalam cawan besar yang dijual pada harga RM6, yang dirasakan tidak wajar. Jadi, saya akan minta KPDN siasat perkara ini,” ujarnya.
Beliau memaklumkan bahawa setiap hari akan terdapat anggota KPDN Negeri Pahang yang akan membuat pemantauan di seluruh bazar Ramadan di negeri ini secara bergilir-gilir.-PAHANGMEDIA

