Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 FEBRUARI 2025 : Sukan Kerajaan Tempatan (SKT) Negeri Pahang telah diadakan kembali dengan tema Sukan Bersama@Kuantan setelah ditangguhkan sejak enam tahun lepas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, sukan dwi-tahunan yang diadakan ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini.
“la akan menjadi medan persaingan yang hangat dalam kalangan atlet-atlet PBT, seterusnya mencungkil bakat-bakat sukan serta memperkenalkan budaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam khususnya anggota PBT.
“Kita semua hadir sebagai sebuah keluarga daripada pasukan berbeza tetapi negeri yang sama untuk memburu matlamat yang juga sama. Kerajaan Negeri Pahang memberi jaminan akan terus meningkatkan kerancakkan arena sukan di negeri ini terutama melibatkan PBT.
“Merakamkan penghargaan khas kepada Kerajaan Negeri Pahang dan PBT kerana memupuk serta mencambahkan perpaduan menerusi sukan. Kita ketepikan sebarang perbezaan tidak kira apa sekalipun, untuk bersatu hati meletakkan kejayaan bersama sebagai tonggak kepada kesatuan sebagai anak Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Sukan Kerajaan Tempatan Negeri Pahang Tahun 2025 di Mini Stadium IIUM.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Razihan Adzaharuddin; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Zaliza Zulkipli; Pegawai Daerah Kuantan, YH. Dato’ Hajah Aida Munira Abdul Rafar; serta ketua-ketua jabatan negeri dan PBT.
Beliau berkata semangat dan disiplin yang ditunjukkan oleh peserta dalam sukan ini dapat diterjemahkan melalui prestasi perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat dan komuniti di negeri ini dan memberi impak besar dalam pelancongan sukan.
“Sudah pasti semangat dan disiplin yang lahir dari sukan ini akan dapat diterjemahkan kepada prestasi perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat dan komuniti.
“MBK antaranya telah tersenarai sebagai PBT pertama dalam ranking Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan (SPB-PBT) kategori Bandaraya manakala Majlis Daerah Jerantut di tempat ketiga kategori Daerah baru-baru ini.
“Saya percaya SKT Pahang dapat memberi impak yang lebin besar terutamanya dalam Sport Tourism,” katanya.
Sebanyak 16 jenis sukan dipertandingkan dalam SKT kali ini iaitu bola sepak 9 sebelah, futsal, badminton, sepak takraw, bola tampar, bola jaring, petanque, ping pong, karom, dart, e-sport, snooker, tarik tali, menembak, golf, dan boling. -PAHANGMEDIA

