Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 22 FEBRUARI 2025 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan larian acara Mara Lasak Pahang 2025 yang berlangsung di Kampung ulu Dong, di sini hari ini.
Paduka Mulia Tengku Hassanal turut berjaya menamatkan larian sejauh 10 kilometer (km) bersama seramai 570 peserta dari 57 buah pasukan dari pelbagai agensi dan penduduk kampung yang menyertai acara terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, acara terbabit merupakan acara julung kali diadakan untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan lasak dalam kalangan rakyat khususnya golongan belia.
“Cabaran Mara Lasak Pahang 2025 berjaya disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang di mana Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota sendiri berlari sejauh 10 km menempuhi pelbagai cabaran laluan denai berhutan, mendaki bukit lebih kurang empat atau lima bukit, meredah sungai dan laluan sukar .

“Sebanyak 57 pasukan mengambil bahagian. Sebenarnya kita hadkan kepada 50 tetapi permintaan-permintaan akhir kita terima melebihi sasaran kita.
“Yang paling penting Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bersama-sama dengan rakyat dalam cabaran mara lasak ini untuk mempromosikan gaya hidup sihat daan lasak dalam kalangan rakyat Pahang dan tentunya peserta-peserta yang mengambil bahagian cukup ceria dapat menyertai acara yang julung kali diadakan ini,” katanya.
Difahamkan acara larian yang bermula pada jam 8.40 itu dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kategori VIP, kategori agensi kerajaan dan kategori kampung di mana setiap pasukan akan disertai lapan peserta lelaki dan dua peserta wanita.

YB. Tuan Fadzli juga berkata, acara sedemekian mendapat sambutan yang menggalakkan dan lebih menarik apabila ia turut mendapat penyertaan veteran tentera berusia lebih 60 tahun bagi kategori VIP.
“Ramai juga yang datang jumpa saya kata (acara ini) sangat lasak sebab ada yang mendaki bukit yang agak tinggi tapi sebahagian besarnya berjaya menghabiskan larian.
“Dan yang menarik sekali, golongan veteran tentera pun ada, umur lebih 60 tahun pun ada dalam kategori VIP misalnya… dan saya tengok acara sebegini mendapat sambutan yang cukup hebat,” ujarnya.
Tambahnya lagi, acara sedekian akan dilaksanakan lagi di masa akan datang sebagai salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat khususnya dalam membentuk golongan muda yang berketahanan lasak. -PAHANGMEDIA

