Oleh : Safiah Hanani Norhalizan
Foto: Nur Saadah Artika
KUANTAN, 20 FEBRUARI 2025: Sebanyak RM7.814 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan sistem elektrik lampu jalan dan bangunan di negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, sebanyak 39 projek penyelenggaraan lampu jalan menerima peruntukan RM5.15 juta, manakala RM2.079 juta digunakan untuk pelaksanaan 14 projek penyelenggaraan bangunan.
“Dan kerja-kerja skop elektrik yang ni terbahagi kepada dua, satu kerja untuk sistem elektrik lampu jalan dan juga untuk sistem elektrik bangunan,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa penyelenggaraan projek ini dijangka bermula pada 24 Februari ini dan disasarkan siap selewat-lewatnya pada 31 Mac 2025.
Dalam pada itu, beliau juga akan mengambil tindakan untuk pemasangan lampu di kawasan-kawasan blackspot yang dikenal pasti di seluruh Pahang.
“Saya pun dah minta juga semua JKR daerah dan juga polis untuk keluarkan kita punya kawasan blackspot ni, kita nak tahu berapa jumlah blackspot di Pahang, dan saya harapkan semua daerah kemukakan jumlah blackspot di Pahang,”katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata masih terdapat 27 projek simpanan dengan peruntukan berjumlah RM3.68 juta, serta 58 kerja lain yang menunggu kelulusan peruntukan.
Hadir sama ialah Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik JKR Malaysia, Ir. Ismail Hasyim bagi menyempurnakan Program Cabut Undi di Dewan PM Najib, di sini, hari ini. – PAHANGMEDIA

