Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang melalui pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang menyediakan bantuan kaunseling kepada keluarga Allahyarhamah Norshamira Zainal.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, pihak JKM telah menyediakan dua kaunselor kepada keluarga dan suami Allahyarhamah.
“Hari ini kita datang melahirkan rasa simpati dan juga memberi sokongan moral kepada keluarga Allahyarhamah.
“Pihak JKM juga ada hantar sokongan psikologi daripada kaunselor yang dah bermula pada hari kedua.

“Kaunselor di Rompin telah membuat intervensi pada hari kedua di Keratong yang melibatkan keluarga mangsa, dan suami serta keluarga di Kuantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dan menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada suami Allahyarhamah, Encik Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31, di Taman PSJ Sungai Karang Darat.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad.
Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam mempercayai orang yang tidak dikenali dan mengingatkan orang ramai khususnya golongan wanita supaya tidak melakukan urusan di kawasan yang sunyi bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Sementara itu, menurut Encik Mohammad Afiq Akhmal, bantuan psikologi oleh pihak JKM amat membantu dirinya dan keluarga untuk lebih tenang dalam menerima pemergian allahyarhamah.

“Setakat ini Alhamdulillah memang tak ada masalah yang besar sangat, saya boleh hadapi dan agak tenang sedikit selepas pemergian arwah.
“Saya nak ucap terima kasih kepada exco yang hadir dan Kerajaan Pahang yang beri sumbangan untuk arwah,” katanya.
Allahyarhamah Norshamira, 37, ditemui mati di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada 13 Februari lepas dengan kesan kecederaan yang menunjukkan unsur jenayah.
Mangsa yang menjalankan perniagaan penghantaran tunai (COD) makanan dikatakan keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan, yang juga suspek utama kes pembunuhan kejam tersebut.
Pada Sabtu, suspek utama kes bunuh Norshamira, seorang lelaki berusia 53 tahun telah ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembusu, Gong Badak, Kuala Terengganu, kira-kira jam 5.30 pagi dan suspek di tahan reman selama tujuh hari sehingga 21 Februari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -PAHANGMEDIA

