Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 18 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang berharap lebih banyak projek berimpak tinggi dapat disalurkan ke negeri ini bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, Kerajaan Negeri memfokuskan kepada tujuh agenda utama dalam RMK-13 akan datang.
Katanya, antara yang harus diberikan keutamaan adalah dari segi pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam.
“Produk atau hasil yang kita laburkan tidak kira dari segi pertanian ataupun pembuatan memerlukan pengeksportan, memerlukan pemasaran. Kita ada pelabuhan Kuantan, jadi mesti ada satu rangkaian perhubungan yang baik untuk membolehkan hasil pembuatan, atau hasil usahawan termasuk pertanian dapat dipasarkan.

“Sebab itu kita menekankan jajaran Lingkaran Tengah Utama (LTU) mesti kita laksanakan, lengkapkan daripada pelan asalnya Kuala Krai sampai ke Pelangai.
“Dan di situ dapat membantu untuk menyuraikan volum trafik yang banyak bukan sahaja pada musim cuti atau perayaan tetapi juga pada hujung minggu dan hari-hari biasa. Supaya pergerakan antara satu tempat ke satu tempat dapat dipermudahkan,” katanya dalam sidang media selepas hadir mewakili YAB. Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail ke Sesi Libat Urus RMK-13 oleh Kementerian Ekonomi Bersama-sama Kerajaan Negeri Pahang di The Zenith Hotel, di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi, YB. Dato’ hajjah Hanifah Hajar Taib, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
Katanya lagi, selain itu Kerajaan Negeri juga turut memberi penekanan terhadap pembangunan zon industri halal.
“Baru-baru YAB. Dato’ Sri Diraja Menteri Besar telah mengiringi YAB. Timbalan Perdana Menteri ke China dan di sana potensi untuk industri halal menjangkau lebih RM5 bilion.

“Dan Pahang menyediakan venue (tempat) dengan kerjasama ECERDC (Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur). Memang kita dah ada sebelum ini di Gambang tapi kita nak kembangkan lagi kerana gebeng merupakan satu pusat industri yang sangat strategi sebab ia dekat dengan pelabuhan Kuantan dan kita ada rangkaian kereta api ECRL yang akan menghubungkan tempat-tempat strategik ini ke tempat lain,” katanya lagi.
Selain itu katanya, Pahang juga turut memberi penekanan tentang perubahan iklim seperti banjir yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.
“Kalau kita meletakkan nilai ringgit dalam angka kerugian itu, ia mencecah lebih daripada berbilion. Kita rasakan ia mesti ditangani, kita tidak boleh membiarkannya begitu sahaja. Sebab itu dalam cadangan yang kita kemukakan, kajian tebatan banjir antara perkara yang kita minta.
“Disamping itu juga, kita juga memberi penekanan kepada aspek menyediakan kemudahan bekalan air yang baik. Antara pendekatan yang kita dapati adalah untuk menyediakan empangan daripada sumber air mentah yang boleh dialirkan menggunakan graviti dan dapat menjimatkan kos,” katanya.
YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi juga memberitahu, selain itu juga Kerajaan Negeri juga turut memberi penekanan kepada aspek peningkatan sektor pertanian dan industri asas tani dan peningkatan infrastruktur pelancongan sekali gus berharap agar kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan kesemua cadangan yang dikemukan dalam RMK-13 akan datang. -PAHANGMEDIA

