Oleh : Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Ashraf Hakimi Hashim
KUANTAN, 06 FEBRUARI 2025 : KPJ Pahang Specialist Hospital mengumumkan pembukaan semula Pusat Perlindungan Bayi (Baby Hatch) pertama Pahang, hari ini.
Baby hatch terbabit merupakan pusat perlindungan bayi yang ketujuh dibuka oleh hospital pakar KPJ di seluruh negara.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, baby hatch ini bertujuan untuk memberikan perlindungan dan keselamatan kepada bayi yang ditinggalkan serta membantu mencegah kes penderaan dan pembuangan bayi.
“Baby hatch ini bukan bertujuan untuk menggalakkan seks luar nikah ataupun mengandung awal, tetapi tujuan utamanya adalah untuk kita menyelamatkan nyawa bayi yang tidak berdosa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan usaha ini mampu mengurangkan kes pembuangan bayi dan memberikan harapan kepada masa depan yang lebih baik bagi semua.
“Jadi kita mengharapkan agar dengan adanya baby hatch ini, tidak ada lagi kes-kes pembuangan bayi di tepi sungai, tepi longkang, di masjid dan sebagainya, dimana dengan adanya baby hatch ini keselamatan bayi tersebut lebih terjamin,” ujarnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa baby hatch tidak menyimpan bayi yang ditinggalkan di situ, sebaliknya bayi tersebut akan diserahkan kepada keluarga angkat yang berminat melalui perbincangan antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak-pihak berkaitan.
Pusat Perlindungan Bayi (Baby Hatch) ini dilancarkan sejak tahun 2012, dan KPJ Pahang pernah menerima seorang bayi pada tahun 2015 ketika beroperasi di Alor Akar.
Kerjasama antara OrphanCare dan KPJ Healthcare yang bermula tahun 2013 ini memberi fokus kepada kesejahteraan kanak-kanak terutamanya dalam aspek kesihatan dan kebajikan sekaligus menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan sokongan kepada kanak-kanak yang memerlukan termasuk penglibatan dalam program kesihatan dan rawatan untuk anak-anak di bawah jagaan OrphanCare.-PAHANGMEDIA

