Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 FEBRUARI 2025 : Status kemajuan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kini mencapai tahap 78.5 peratus setakat Januari lalu.
Menteri Kewangan II, YB. Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemajuan pembinaan terbabit meliputi empat buah negeri iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Selangor.
Katanya, tahap kemajuan yang meyakinkan itu selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL fasa pertama dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang akan disiapkan pada Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027.

“Jajaran fasa kedua antara Gombak dan Pelabuhan Klang di Selangor akan disiapkan menjelang Disember 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada Januari 2028,” katanya ketika hadir menyempurnakan majlis pelancaran laporan impak terkini Sukuk Matlamat Pengunan Mampan (SDG) Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) bagi projek ECRL bertempat di Tapak Projek ECRL Seksyen 10, di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, YB. Dato’ Sri Darwis Abdul Razak.
YB. Senator Datuk Seri Amir Hamzah juga berkata, laporan impak terkini Sukuk SDG MRL bagi projek ECRL berkenaan membuktikan komitmen MRL dalam memastikan pembangunan infrastruktur berimpak tinggi yang mampan demi kelestarian masa hadapan.

“Projek ECRL bernilai RM50.27 bilion dengan rangkaian sepanjang 665 kilometer merupakan satu inisiatif kerajaan persekutuan untuk menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang, meningkatkan mobiliti rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi, dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat khususnya di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
“Projek ini memperkasakan keupayaan bakat tempatan berkemahiran dalam industri rel.
“Dengan memanfaatkan laporan impak Sukuk SDG ini, projek ECRL bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan tetapi juga sejajar dengan matlamat pembangunan mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu memajukan objektif alam sekitar, sosial dan ekonomi negara,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, projek ECRL akan menerima anugerah Malaysia Book of Records berhubung Most Wildlife Box Culverts Crossing in a Single Railway Project.
“Sebanyak 28 kotak pembetung lintasan hidupan liar telah dibina untuk memudahkan hidupan liar melintas jajaran rel ECRL dengan selamat. Pengiktirafan ini membuktikan komitmen MRL dalam memajukan usaha SDG melalui inisiatif yang inovatif dan berkesan,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

