Oleh : Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 6 FEBRUARI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli merasmikan kilang peluru automasi tinggi pertama di Malaysia milik Ketech Asia Sdn. Bhd. (Ketech Asia), di sini hari ini.
Kilang dengan keluasan 40.5 hektar terbabit telah dibangunkan sejak 2022 di atas tanah yang dimiliki Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan menjadi tapak untuk mengoptimumkan proses pembuatan peluru dengan menggunakan jentera-jentera berteknologi tinggi.
Paduka Baginda dalam titah berharap agar pembangunan industri berkenaan dapat memberikan limpahan ekonomi buat penduduk daerah ini dan negeri Pahang keseluruhannya.

“Seperti saya katakan tadi, ini (kilang peluru) dapat menjana pekerjaan kepada orang tempatan. Saya harap anak-anak tempatan terpanggil untuk bekerja di sini.
“Objektif kilang ini adalah untuk mengeluarkan produk yang boleh dihasil di sini dan dijual di tempatan dan juga dijual ke antarabangsa,” titah Paduka Baginda kepada media di sini hari ini.
Paduka Baginda juga bertitah, dengan pembukaan industri berkenaan di daerah ini juga dapat menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di negeri ini.

“Saya mengalu-alukan mana-mana syarikat yang boleh mendatangkan kebaikan dan hasil yang baik untuk Negeri Pahang, rakyat Pahang dan seterusnya,” titah Baginda.
Majlis perasmian tersebut dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri, YB. Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.
Hadir sama, Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ketech Asia, Encik Mohd. Nahar Nasir berkata, kilang peluru yang akan beroperasi 1 Mac nanti kini memiliki seramai 110 pekerja dengan 91 peratus darinya merupakan pekerja tempatan dari Negeri Pahang.
“Pasaran peluru sudah bermula dari bulan Mei tahun lepas. Kita sudah mula pasarkan dan ada beberapa pihak yang telah berminat untuk bekerjasama dengan kami untuk kita bekalkan peluru kepada mereka.
“Selepas kita memulakan operasi kita pada bulan Mac ini, InsyaAllah kita akan jangkakan pengeluaran sebenar untuk lokal dalam bulan Jun atau Julai. Sekarang kita mula produksi untuk simpanan dahulu,” katanya memberitahu setakat ini beberapa negara seperti Brunei, Singapura, Kemboja, beberapa negara dari benua Afrika dan negara Timur Tengah sudah mula menunjukkan minat. -PAHANGMEDIA

