Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 04 FEBRUARI 2025 : Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda sebanyak RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub di atas pertuduhan menceroboh tanah milik Kerajaan Negeri Pahang bagi dijadikan penempatan secara haram.
Tertuduh, Nor Azmi Othman, 50, yang berasal dari Kelantan telah menceroboh tanah seluas 1.61 hektar di Sungai Ular, Kuala Lipis untuk diberikan kepada ahli keluarga selain membina rumah, kolam ikan, dan kebun di atas tanah berkenaan.
Nor Azmi turut berdepan hukuman 10 bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda seperti mana yang diperintahkan Hakim, Noor Aisah Mohamed.
Noor Asiah dalam prosiding berkenaan turut memerintahkan kesemua jentera yang disita pada masa kejadian dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang dan dikembalikan kepada Pengarah Tanah dan Galian Pahang untuk dilupuskan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa tanpa kebenaran yang sah telah membersih dan menggali tanah Kerajaan Negeri Pahang pada 1 Ogos 2024 jam 4 petang.
Nor Azmi yang diwakili peguam, Muhammad Adib mengaku bersalah melakukan kesalahan tersebut dan merayu pihak mahkamah meringankan hukuman memandangkan dia hanya bekerja sendiri selain perlu menanggung isteri yang sakit serta mempunyai anak yang masih kecil.
Dia dituduh di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa dari Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi dan Taqiuddin Azizan mewakili Kerajaan Negeri pada prosiding hari ini.
Menurut fakta kes, pihak berkuasa telah menjumpai aktiviti mengorek dan membersih tanah menggunakan jentera ketika serbuan dijalankan di atas tanah yang disyaki milik Kerajaan Negeri Pahang.
Pihak berkuasa turut menahan dua lelaki yang merupakan pemandu jengkaut dan pemandu jentera pengorek yang mengaku bekerja mengikut arahan pemilik jentera-jentera tersebut.
Dalam serbuan berkenaan pihak berkuasa turut menyita kedua-dua jentera dengan kehadiran wakil tertuduh serta telah menyerahkan notis perampasan di bawah Seksyen 426A(5) Kanun Tanah Negara (Revised 2020) Akta 828 di mana tertuduh telah gagal mengemukakan dokumen kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri bagi aktiviti berkenaan.
Siasatan lanjut terhadap kedua pemandu jentera dan pemilik jentera mendapati mereka telah diberi arahan oleh tertuduh untuk melakukan kerja-kerja mengorek dan membersihkan kawasan tersebut yang dianggarkan seluas 4 ekar bagi tujuan membuat tapak rumah, kolam ikan dan jalan masuk.
Hasil semakan dengan Pejabat Daerah dan Tanah Lipis mengenai kordinat lokasi tanah yang digali dan dibersihkan tersebut mendapati kawasan tersebut berada di atas Tanah Kerajaan dan tiada sebarang kelulusan permit diberikan di atas kawasan berkenaan, manakala semakan dengan pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) memaklumkan bahawa lokasi tersebut tidak berada di dalam mana-mana tanah yang diukur halus. -PAHANGMEDIA

