Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 04 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan lebih RM200 bagi setiap peserta berkhatan di bawah Program Berkhatan Anak Pahang 2025 tahun ini.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, ia melibatkan kos bagi bayaran pengkhatan atau mudim, penganjuran majlis, cenderamata peserta, dan lain-lain.
“Saya difahamkan juga kos untuk berkhatan bagi seorang tidak kurang daripada RM200. Hari ini Kerajaan Negeri membelanjakan lebih daripada RM200 setiap orang yang merangkumi bayaran pengkhatan atau mudim, penganjuran majlis, cenderamata peserta iaitu beg, kain pelekat, dan wang RM20 seorang, serta lain-lain lagi yang berkaitan.

“Sebanyak RM1.3 juta peruntukan telah disediakan bagi melaksanakan Program Berkhatan Anak Pahang 2025 yang memberi manfaat kepada 3,500 orang rakyat Negeri Pahang khasnya kumpulan B40.
“Peningkatan peruntukan 2025 sebanyak RM300,000 kepada RM1.3 juta berbanding tahun 2024 sebanyak RM1 juta kepada program berkhatan, menunjukkan betapa seriusnya Kerajaan Negeri Pahang di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam memartabat agama syiar Islam di Negeri Pahang Darul Makmur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan dan melawat peserta pada Program Berkhatan Anak Pahang 2025 Peringkat Daerah Bera di Masjid Darul Fikir.

Menurut beliau, ibu bapa para peserta turut melahirkan rasa bersyukur dan gembira dengan program ini yang mana ia dapat meringankan beban kewangan mereka.
“Alhamdulillah rata-rata mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang dan berharap tahun-tahun akan datang ada lagi sumbangan daripada Kerajaan Negeri untuk rakyat di negeri ini,” katanya.
Seramai 300 peserta Program Berkhatan Anak Pahang 2025 Peringkat Daerah Bera menyertai program yang bermula pada 8 pagi yang turut diserikan dengan acara semburan air oleh pihak bomba di perkarangan Masjid Darul Fikri. -PAHANGMEDIA

