Oleh : Norhafizan Zulkifli & Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN , 16 JANUARI 2025 : Rumput Bermuda Tifgrand di padang Stadium Darul Makmur menunjukkan perkembangan positif dengan kadar pertumbuhan mencapai 80 peratus selepas enam minggu ia ditanam.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, dengan perkembangan positif itu, beliau yakin penaikan taraf padang Stadium Darul Makmur mengikut jadual yang ditetapkan.
Beliau juga optimis penaikan taraf padang Stadium Darul makmur akan selesai mengikut perancangan iaitu dijangka pada penghunjung Mac nanti.

“Pagi ini saya dikunjungi oleh wakil syarikat Chubu Co., Ltd. dari Jepun yang hadir untuk melihat perkembangan rumput Bermuda Tifgrand kita dan hasil daripadaa sebentar tadi, mereka sangat kagum dengan perkembangan penanaman rumput ini.
“Ini kerana hanya dalam tempoh enam minggu ditanam, sudah bercambah lebih 80 peratus dan kita optimis bahawa rumput Bermuda Tifgrand ini akan sempurna pada penghujung Mac ini.
“Walaupun cuaca ketika ini sering hujan, tapi Alhamdulillah perkembangan di Stadium Darul Makmur ini sangat baik dan memberangsangkan,” katanya ketika melakukan lawatan ke Padang Stadium darul Makmur, di sini hari ini.

Lawatan terbabit turut disertai wakil Syarikat Chubu Co,. Ltd., Encik Fumi Miyachi dan Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur, Encik Izad Zainal Muhammad Saffian.
Tambahnya lagi, dengan perkembangan positif itu juga membuktikan cuaca di negara ini membantu dalam proses pertumbuhan rumput berkenaan walaupun ditanam ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).
“Saya sendiri tengok akar rumput Bermuda Tifgrand ini tumbuh dengan baik dan banyak perkembangannya berbanding lawatan saya beberapa minggu lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Encik Fumi Miyachi pula berkata, beliau pada mulanya agak gusar memikirkan perkembangan pertumbuhan rumput Bermuda Tifgrand yang di tanam ketika musim hujan.
“Saya juga sedikit gementar untuk tanam rumput ini pada musim ini kerana ia memerlukan cahaya matahari, tetapi saya kagum apabila dalam masa enam minggu sahaja, pertumbuhan rumput menunjukkan hasil yang baik,” ujarnya.-PAHANGMEDIA

