Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 16 JANUARI 2025: Kerajaan Negeri Pahang menghargai sumbangan guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan (P) Methodist, di sini, yang terlibat dalam menjayakan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur pada 25 November 2023.
Justeru itu, sumbangan berupa cek bernilai RM5,000 telah disampaikan Exco Komunikasi & Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal sebagai penghargaan kepada pihak sekolah dan pelajar atas usaha mereka itu.
YB. Tuan Fadzli berkata, sumbangan berkenaan adalah untuk kegunaan kumpulan Aria Teja Dazzlers (ATD) SK (P) Methodist yang terlibat menjayakan sambutan julung kali diadakan tersebut..

“Persembahan pada malam itu turut melibatkan pelajar yang hadir dan ianya mendapat sambutan yang cukup baik di mana bukan sahaja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut mencemar duli, tapi juga tetamu yang hadir.
“Lebih 400 pelajar yang terlibat dalam sambutan berkenaan melibatkan lima buah sekolah termasuklah pelajar sekolah ini.
“Saya sangat hargai sumbangan guru dan para pelajar semua, jadi diberikan sedikit penghargaan dalam bentuk sumbangan cek daripada Kerajaan Negeri Pahang. Terpulang untuk dibelanjakan bagaimana pelajar-pelajar ini,” katanya ketika hadir menyampaikan Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang Bagi Menjayakan Sambutan Jubli Emas Stadium Darul Makmur, di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Guru Besar SK (P) Methodist Kuantan, Puan Masniza bt Muhamad Yusof @ Kamarudin; Yang Dipertua PIBG SK (P) Methodist Kuantan, Tuan Haji Khairul Anwar bin Dato’ Ahmad Nadzer; dan Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur, Encik Izad Zainal bin Muhammad Saffian.
YB. Tuan Fadzli turut berharap agar kerjasama antara Kerajaan Negeri Pahang dan SK (P) Methodist dapat diteruskan lagi di masa akan datang.
“Saya sangat berbangga dengan pencapain dan persembahan adik-adik semua. InsyaAllah, kalau ada keperluan lain, kita cuba bantu. Moga kita akan terus bekerjasama selepas ini,” ujarnya.
Puan Masniza dalam pada itu memaklumkan kumpulan ATD terdiri dari 20 pelajar dengan enam darinya sudah memasuki sekolah menengah. Kumpulan berkenaan dibimbing tiga orang guru selain turut mendapatkan khidmat bantu dari dua tenaga pengajar luar bagi persiapan persebahan bersempena sambutan itu sebelum ini. -PAHANGMEDIA

