Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 16 JANUARI 2025 : Penerima Kad Kesihatan Kasih Makmur di negeri ini meningkat kepada 35,000 penerima yang mendapat manfaat daripada inisiatif khas Kerajaan Negeri Pahang bagi tahun ini.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, jumlah penerima inisiatif ini meningkat berbanding jumlah penerima pada tahun lepas kira-kira 30,000 orang.
“Untuk tahun 2025, Kerajaan Negeri Pahang masih lagi memberikan Kad Kesihatan Kasih Makmur dimana tahun ini penerimanya dinaikkan lagi.

“Kalau dulu 30,000 lebih (penerima), untuk tahun ini hampir 35,000 lebih penerima akan menerima kad kesihatan ini yang melibatkan implikasi kewangan hampir RM20 juta,” katanya.
Menurut beliau, pemegang kad kesihatan ini juga telah boleh menggunakan kad tersebut bermula 1 Januari lepas di fasiliti kesihatan yang dilantik di seluruh negeri ini.
Mengulas mengenai tahap kesedaran kanser serviks dalam kalangan wanita di negeri ini, beliau berkata ia dilihat meningkat dan golongan ini dilihat lebih terbuka untuk menjalani pemeriksaan.

“Tahap kesedaran di Negeri Pahang dilihat semakin bertambah baik di mana kesedaran di kalangan wanita di Negeri Pahang semakin meluas.
“Pihak LPPKN (Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara) juga ada menyediakan khidmat bas bergerak yang mana kita boleh gerakkan bas ini untuk pergi ke kawasan luar bandar bagi melakukan pemeriksaan kesihatan wanita termasuk mammogram,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Pahang 2025 “Get Informed, Get Screened” di BCIC Lodge. -PAHANGMEDIA

