Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Zhafranhaziq Zahari
KUANTAN, 15 DISEMBER 2024 : Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang membuat pemilihan teliti dan menyeluruh terhadap pemilihan pemimpin belia Pahang yang mengikuti Retreat Pemimpin Muda Pahang (PYLR) 2024.
Pengarah JBS Pahang, Encik Mu’azamir Haji Jili berkata, kriteria pemilihan ini dibuat bagi memastikan perbincangan di kalangan peserta adalah menyeluruh membabitkan kesemua kelompok yang semestinya mempunyai minat, kehendak dan keperluan yang berbeza.

Lapan kelompok belia itu ialah belia bekerja, belia luar bandar, belia bandar, belia tidak bekerja, belia pelajar, belia berkeperluan khas, belia dalam kumpulan minoriti dan belia bermasalah.
“Sebenarnya pemilihan itu kami ambil dari segi umur, terdiri daripada anak Pahang dan kita juga melihat kepada latar belakang, kita balik kepada Dasar Belia Malaysia, dia ada lapan kelompok belia itu, kami nak semua kelompok ada, sebab lain kelompok minat dia berbeza, kehendak berbeza jadi biarlah Kerajaan Negeri Pahang menyantuni keseluruhan kelompok ini sebab inilah mereka-mereka yang kita rasa pada masa akan datang akan meneruskan legasi kepimpinan Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Retreat Pemimpin Muda Pahang (PYLR) 2024 di Erya Suria Cherating, hari ini.

Sementara itu, seorang peserta, Penolong Pegawai Daerah Kuantan, Puan Nurul Erlyeza Saffian berkata, pengalaman pertama terlibat di dalam program belia memberikan keterujaan kepadanya bukan sahaja membentuk jaringan sosial tetapi juga keterlibatan anak-anak muda dalam berkongsi pandangan dan idea sekaligus dapat memberi impak positif kepada Kerajaan Pahang.
“Apa yang saya nampak bukan sahaja daripada segi jaringan sosial malahan keterlibatan anak-anak muda ini akan banyak memberi impak positif kepada negara dari segi sudut ekonomi, fahaman politik dan sebagainya,” katanya.

Program PYLR telah melibatkan seramai 80 peserta di kalangan pemimpin belia Negeri Pahang berlatarbelakangkan pelbagai kerjaya dan lapisan.
PYLR anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang bersama Pahang Corporation Management Services (PCMS) ini turut menampilkan penceramah dan fasilitator di kalangan pemimpin muda yang hebat serta berpengalaman dan memberikan perkongsian kepada peserta. -PAHANGMEDIA

