Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Akmalia Allen
KUANTAN, 15 DISEMBER 2024 : Kerajaan Pahang akan memperhalusi setiap idea dan cadangan yang dilontarkan oleh peserta Retreat Pemimpin Muda Pahang (PYLR) 2024 bagi memperkasa anak muda di negeri ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, setiap peserta yang terdiri daripada kepelbagaian latar belakang kerjaya sangat bersungguh-sungguh melontarkan pandangan berdasarkan pengetahuan masing-masing.
“Saya tengok ada kekuatan dalam kumpulan ini yang berbeza latar belakang dan kepelbagaian dan saya berharap ia tidak terhenti setakat ini, saya perhalusi setiap cadangan dan idea yang dikemukakan, banyak yang menarik dan boleh dilaksanakan, jadi insyaaAllah saya akan bentangkan dapatan atau cadangan daripada retreat ini kepada YAB Menteri Besar Pahang.
“Banyak cadangan yang baik yang dilontarkan oleh peserta-peserta ini dan saya dah minta Jabatan Belia dan Sukan (JBS), PCMS (Pahang Corporate Management Services) dan juga Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) perhalusi setiap pandangan serta cetusan idea tersebut dan kita akan laksanakan mana yang sesuai di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Retreat Pemimpin Muda Pahang (PYLR) 2024 yang berlangsung selama empat hari di Erya Suria Cherating, Kuantan.

Hadir sama ialah Pengarah JBS Pahang, Encik Mu’azamir Haji Jili dan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia JBS Negeri Pahang, Encik Shafrul Haji Kadir.
Program PYLR telah melibatkan seramai 80 peserta di kalangan pemimpin belia Negeri Pahang berlatarbelakangkan pelbagai kerjaya dan lapisan.
PYLR anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang bersama Pahang Corporation Management Services (PCMS) ini turut menampilkan penceramah dan fasilitator di kalangan pemimpin muda yang hebat serta berpengalaman dan memberikan perkongsian kepada peserta.
Selain itu, YB. Tuan Fadzli berkata, pemilihan peserta di kalangan pemimpin muda pada retreat kali ini adalah tepat kerana penglibatan yang sangat baik dalam memberikan buah fikiran terbaik demi memperkasakan golongan belia di Pahang.
“Alhamdulillah saya rasa pemilihan kali ini pemilihan yang tepat, saya mendapat maklumat daripada fasilitator serta urusetia bahawa mereka ini sangat aktif dan ada satu kerjasama yang baik di kalangan mereka.
“Ramai di kalangan mereka adalah pegawai tadbir diplomatik, penolong pegawai daerah, pensyarah, doktor pakar pun ada, usahawan, di kalangan pengerusi JPKK pun ada, peniaga kecil, pelajar universiti, pemimpin belia, pelajar sekolah jadi macam-macam latar belakang yang saya tengok menyumbang kepada kekuatan anak muda di Negeri Pahang,” katanya.
Kesemua peserta telah disaring dan dipilih oleh JBS Pahang dengan menilai pelbagai kriteria selain memberi keutamaan kepada lapan kelompok belia negara iaitu belia bekerja, belia luar bandar, belia bandar, belia tidak bekerja, belia pelajar, belia berkeperluan khas, belia dalam kumpulan minoriti dan belia bermasalah agar setiap kelompok dapat dinilai kehendak dan keperluan bersesuaian. -PAHANGMEDIA

