Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 DISEMBER 2024 : Kerajaan Negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang menghantar kira-kira 400 sukarelawan dari Pahang membabitkan daerah Kuantan, Temerloh dan Maran bagi membantu pasca banjir di Negeri Kelantan yang terkesan teruk akibat musibah itu, baru-baru ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini merupakan tanda solidariti dan keprihatinan Kerajaan Pahang yang tidak pernah ketinggalan menghantar sukarelawan bagi membantu negeri-negeri yang terbabit bencana alam khususnya banjir.

“Kerajaan Negeri Pahang melalui Pejabat SUK tidak pernah ketinggalan untuk membantu, bukan banjir sahaja tetapi pernah suatu ketika krisis air di Selangor kita menghantar tanker ke Selangor.
“Ini adalah bencana, kita tidak tahu kemungkinan kalau sekiranya berlaku di Negeri kita mungkin mereka pun akan bantu kita nanti sebab bencana ini memerlukan suatu tenaga yang ramai, komitmen dan kalau kita je tidak mencukupi,” katanya kepada media pada Flag Off Bantuan Pasca Banjir Sukarelawan Pahang Ke Kelantan di Kuantan.
Misi bantuan sukarelawan kali ini diketuai Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan SUK Pahang, Puan Nurul Intan Suraya Aminuddin dan Pengarah Pertahanan Awam Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman bersama 15 pegawai dan anggotanya yang akan membimbing dan membantu penyelarasan kerja-kerja pasca banjir di Kelantan.

Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut mengingatkan semua sukarelawan agar patuh kepada arahan pegawai-pegawai terlibat selain menjaga keselamatan dan kebersihan agar semua sukarelawan dapat menjalankan khidmat dengan baik.
“Saya berharap mereka selamat pergi, selamat menjalankan khidmat bakti sebagai sukarelawan membantu mangsa-mangsa banjir terutamanya pasca banjir, membersih rumah-rumah dan selamat kembali ke Negeri Pahang selepas mereka menjalankan tugas.
“Saya sangat menghargai jasa bakti mereka, tugas-tugas mereka yang sukarela, maknanya dengan suka hati tinggalkan Negeri Pahang sebentar untuk memberi khidmat kepada rakan-rakan kita yang di luar Pahang yang tidak bernasib baik akibat ditimpa banjir,” katanya.
Misi bantuan kali ini turut disertakan dengan bantuan barangan berupa kit makanan serta keperluan-keperluan mangsa banjir yang menelan belanja kira-kira RM100,000.
Pasukan APM turut membawa lori beserta peralatan pembersihan dan tangki kubikel 250 untuk membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Kelantan. – PAHANGMEDIA

