Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 DISEMBER 2024 : Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang telah membina sebuah Pusat Pemindahan Sementara Ternakan (PPST) di Pekan bagi menempatkan haiwan ternakan ketika menghadapi musim banjir.
Menurut Pengarah Veterinar Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Kamaliah Ghazali, pembinaan PPST dengan nilai sebanyak RM559,731.73 ini bagi memastikan haiwan ternakan di kawasan terjejas banjir dalam keadaan selamat.
“Alhamdulillah tahun ini kita telah dapat siapkan Pusat Pemindahan Sementara Ternakan (PPST) di Kampung Pulau Rumbia. PPST ini kita harap kita boleh pindahkan (ternakan yang dialihkan ke tepi jalan ketika banjir) dari tepi-tepi jalan tu ke tempat ini (PPST).
“Sebelum ini kita benarkan secara ihsan untuk ternakan diletakkan di kawasan hadapan memandangkan tiada kawasan tinggi dan berdekatan.
“Dan tahun ini selepas mendapat titah daripada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, kita dapat satu kawasan daripada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) kita dah bangunkan PPST ini,” katanya.
Beliau berkata PPST yang di bina di atas tanah seluas 4 hektar ini menjadi model pertama bagi ternakan dengan turut menempatkan kandang, dan tempat penyimpanan makanan.

“Kawasan ini kita dah bangunkan dengan tempat untuk makanan, ada kandang juga kita sediakan. Dalam 50 ekor kita boleh simpan dekat PPST ini dalam tempoh dua minggu hingga sebulan.
“Ini pertama di Pahang. Sebelum ini di negara kita, kita menempatkan ternakan ini di kawasan ladang milik jabatan Kerajaan sebagai tempat sementara. Kita tak designated sebagai PPST. Cuma yang ini kita designated.
“Dan kita bina di Pekan, kerana bila air naik, di Pekan akan jadi fenomena air termenung, lambat turun,” katanya.
Beliau tidak menolak cadangan untuk memperluaskan pembinaan PPST ini ke seluruh daerah di negeri ini terutamanya di kawasan sering terjejas banjir namun beliau berkata pihaknya perlu mengenalpasti kawasan tinggi yang selamat bagi memindahkan ternakan ini terlebih dahulu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutup Kajian Penghasilan Makanan Ternakan Daripada Sisa Nanas di Pusat Kemahiran Veterinar, Kampung Mahkota.
Beliau turut menasihatkan para penternak supaya bersiap sedia untuk memindahkan ternakan ke kawasan tinggi terutama apabila Monsun Timur Laut (MTL) bermula. -PAHANGMEDIA

