Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 12 DISEMBER 2024: Projek Paip Agihan dari Kemaman ke Gebeng bukan sekadar menyediakan bekalan air, malah juga mampu memastikan pengagihan air yang cekap untuk memenuhi keperluan industri dan komuniti di Gebeng.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan juga dilihat mampu menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di negeri ini.
Katanya, pembinaan saluran paip sepanjang 29.8 kilometer dari Tangki Bukit Kolam di Kemaman ke Tangki Gebeng Sentral B, serta rumah pam mampu menambah pengaliran air sehingga 90 juta liter sehari dengan kapasiti maksimum 115 juta liter sehari.
“Projek ini dapat mengurangkan keresahan dan kegelisahan pelabur-pelabur yang datang melabur di Gebeng ini dan juga komuniti sekitar ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Terengganu dan juga pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kerana merencanakan program ini sehingga selesai mengikut masa yang telah ditetapkan.
“Dan ini memungkinkan lebih ramai pelabur akan datang ke Negeri Pahang,” katanya kepada media setelah selesai menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek Pembinaan Paip Agihan dari Kemaman Terengganu ke Gebeng, Pahang bertempat di Rumah Pam Penggalak Gebeng, Balok, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, YAB. Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim dan Pegawai Eksekutif ECERDC, YB. Dato’ Baidzawi Che Mat.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga memberitahu, pihak Kerajaan Negeri Pahang dan Pihak Kerajaan Negeri Terengganu masih belum memuktamadkan lagi harga jualan bekalan air terawat dari Kemaman ke Gebeng berkenaan.
“Kadar akan dibincangkan antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Terengganu… dan juga antara Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Syarikat Air Terengganu (SATU). Kita akan bincang.
“Dia (Kerajaan Negeri Terengganu) meletakkan harga RM1.40, tapi kita biasalah..kita minta kurang sikit. Terpulanglah kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Kita harap ia dapat pertimbangkanlah,” ujarnya.
Dalam pada itu, infrastruktur yang dibina ECERDC itu bagi memastikan bekalan air terawat yang konsisten dan mencukupi dari Kemaman ke kawasan perindustrian Gebeng, sekali gus menangani gangguan bekalan air yang berlarutan dan menyediakan kemudahan asas bagi pertumbuhan perindustrian yang berterusan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sekali gus memenuhi keperluan industri serta penduduk setempat. -PAHANGMEDIA

