Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUALA LUMPUR, 9 DISEMBER 2024 : Seramai 6,273 peserta Program Jaminan Kerjaya anjuran YP Advanced Skills berjaya memperoleh pekerjaan berpendapatan tinggi di seluruh dunia.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bermula dari tahun 2018, terdapat lebih kurang 18 orang sahaja dan kini telah melahirkan ramai pekerja-pekerja yang berkemahiran serta ada di antara mereka yang mendapat pendapatan RM20,000 ke atas.
“Ini adalah satu usaha yang sangat baik dan usaha ini meliputi semua cabang, maknanya daripada gunting rambut sampai kepada kerja-kerja kemahiran yang lain, offshore, buah sawit dan sebagainyalah.

“Saya sangat menghargainya dan mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Pahang dan YP Advance Skills dan usaha ini akan diteruskan dan Kerajaan Negeri akan memberi sokongan kepada YP Advanced Skills dan InsyaaAllah kita akan tambahkan lagi bilangan pelajar dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya ‘Empowering De’Tea Logue’ yang diadakan di Sime Darby Convention Centre (SDCC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama ialah YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob, barisan Exco Kerajaan Pahang, Pengurus Besar YP Advanced Skills, Puan Hajah Nor Liza Abd Mubin dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang, Dato’ Kamaliah Ghazali.

Program Jaminan Kerjaya menawarkan tujuh sektor pembelajaran iaitu Sektor Hospitaliti dan Perkhidmatan, Sektor Minyak, Gas dan Tenaga, Sektor Pengangkutan dan Logistik, Sektor Teknologi Maklumat dan Digital, Sektor Pembinaan dan Kejuruteraan, Sektor Pelancongan dan Kejuruteraan serta International Career Management Trainee Programme.
Pada majlis sama, turut diadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Kolaborasi antara YP Advanced Skills dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd.
Turut berlangsung ialah Majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum (MoA) antara YP Advanced Skills dengan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).
Program Jaminan Kerjaya yang mula dilaksanakan pada 2018 itu telah menerima tajaan berjumlah RM62.16 juta daripada Yayasan Pahang, Yayasan Peneraju, Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang dan SD Guthrie Berhad.
Program itu turut menerima kerjasama daripada rakan-rakan industri iaitu East Academy, SD Guthrie Berhad, Barba Venture Sdn. Bhd., Westport Malaysia Sdn. Bhd., Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd., FGV Holdings Bhd., MUIP Hotel Sdn. Bhd., Time Touch Marine dan TWI Technology (S.E.Asia) Sdn. Bhd. -PAHANGMEDIA

