Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 DISEMBER 2024 : Perkhidmatan bas henti-henti di daerah ini akan dikendalikan oleh syarikat pengendali baharu pada pertengahan tahun hadapan.
Menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, namun demikian syarikat baharu tersebut masih dalam peringkat penilaian dan belum diputuskan lagi.
“Kalau mengikut maklumat daripada APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) pada Mei 2025 dijangka bermula (operasi baharu).
“Dan ia masih dalam peringkat penilaian bagi perolehan kerana ia inisiatif dari pihak persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) oleh UCYP University bersama International Islamic University Malaysia (IIUM) di Auditorium Kampus Utama UCYP University.
Beliau turut menafikan terdapat campur tangan pihak lain untuk menghentikan perkhidmatan bas oleh pihak Rapid Kuantan namun ia disebabkan pihak Rapid Kuantan tidak mahu meneruskan operasi.
“Ini tender terbuka, cuma Rapid tak masuk tender disebabkan kos yang ada sekarang tak boleh nak cover,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan yang sama juga akan diteruskan oleh pihak pengendali bas yang baharu termasuklah melibatkan laluan bas dan waktu operasi.
“Perkhidmatan sama, dan laluan juga sama. Ada 16 laluan dan cuma ada keistimewaan, pas bulanan di mana sebulan bayar RM50 dan kita ada kad untuk pelajar, warga emas, OKU secara percuma cuma perlu bayar RM10 untuk pendaftaran. Waktu operasi pun sama,” katanya.
Mengulas mengenai pengumuman tujuh lokasi pembinaan jambatan bailey oleh Kerajaan Persekutuan, beliau berkata Pahang tidak tersenarai di dalam lokasi yang dimaklumkan.
“Ia tak tentu tempat cuma risiko berlaku bila keadaan di suatu kawasan itu hujan lebat sehingga menyebabkan jalan terputus. Ia tak tentu, kita tak tahu di mana yang akan berlaku.
“Contoh sekarang yang berlaku pada tahun lepas, dua tahun lepas di Jalan FT12 Gambang ke Segamat, dan di Selancar yang masih lagi kita guna jambatan Bailey sehingga jambatan kekal siap di bina nanti.
“Dan setakat ini tak ada lagi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pahang memaklumkan terdapat kawasan berisiko,” katanya. -PAHANGMEDIA

