Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 10 DISEMBER 2024 : Istana Pahang menafikan sebarang Istiadat Perkahwinan Diraja melibatkan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan seorang wanita yang dikatakan akan berlangsung pada April tahun hadapan.
Ia berikutan satu hantaran berbentuk video yang dimuatnaik pengguna platform laman sosial Instagram bernama Faridah Daud (farida.daud_1) menyatakan bahawa majlis perkahwinannya bersama KDPM Tengku Mahkota Pahang akan berlangsung April tahun hadapan.
Di dalam video berdurasi sekitar satu minit itu juga, wanita berkenaan juga secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.
Istana Pahang menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Yahya berkata, Istana Pahang telah beberapa kali mengesan hantaran fitnah yang dimuatnaik individu sama.
Istana Pahang justeru itu meminta orang ramai agar tidak mempercayai sebarang kenyataan yang dimuatnaik selain daripada Portal Rasmi Istana Pahang iaitu istanapahang.my dan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan Youtube menggunakan nama Kesultanan Pahang.
“Tindakan tegas boleh diambil kepada individu tersebut atau mana-mana pihak yang dikesan membuat sebarang hantaran berbaur fitnah atau mengganggu gugat keharmonian khususnya Istana Pahang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini. -PAHANGMEDIA

