Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2024 : Keluasan semasa Tanah Rizab Melayu di Negeri Pahang meningkat melebihi 100 peratus berbanding tahun 1955 iaitu daripada enam peratus kepada 12.34 peratus berbanding keluasan Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keluasan Tanah Rizab Melayu pada tahun 1955 (sebelum merdeka) ialah 218,326 hektar iaitu 6 peratus daripada keluasan Negeri Pahang, manakala keluasan Tanah Rizab Melayu semasa ialah 444,074 hektar, iaitu 12.34 peratus daripada keluasan Negeri Pahang.
“Oleh yang demikian, keluasan Tanah Rizab Melayu dilihat menunjukkan peningkatan melebihi 100 peratus daripada tahun sebelum merdeka dan masa kini dan untuk makluman Ahli Dewan keluasan tanah Negeri Pahang ialah 3,597,206.68 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Inderapura, YB. Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif berhubung pembangunan di sekitar kawasan Tanah Rizab Melayu, beliau berkata, Kerajaan Pahang sememangnya menggalakkan pemilik tanah untuk membangunkan Tanah Rizab Melayu ini secara komprehensif.
“Bagi mana-mana pembangunan tanah yang berstatus Rizab Melayu, Kerajaan Negeri telah memberikan pengecualian daripada syarat pembinaan rumah kos sederhana rendah dan ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan pemilik-pemilik Tanah Rizab Melayu untuk membangunkan tanah mereka secara komprehensif.
“Selain daripada itu juga, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan sekiranya ada permohonan-permohonan tertentu secara khusus bagi tujuan pembangunan bagi Tanah Rizab Melayu ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

