Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2024 : Pengikut-pengikut Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di Negeri Pahang adalah disahkan sebagai menyeleweng dan sesat.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, keputusan ini telah dibuat oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang.
“GISBH ini telah pun disahkan, dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Syariah Negeri sebagai ajaran yang menyeleweng dan sesat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, YB. Dato’ Haji Rosli Abdul Jabar pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada ADUN Cheka, YB. Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung ajaran sesat di Pahang dan kewujudan pusat pemulihan akidah, beliau berkata, terdapat 34 ajaran sesat yang telah dikenalpasti di Negeri Pahang.
Tambahnya, meskipun Pahang masih belum mempunyai pusat pemulihan akidah yang khusus, namun kesemua individu yang disahkan megikuti ajaran sesat akan diberi kaunseling dan dipulihkan akidahnya agar kembali ke pangkal jalan.
“Memang setiap individu yang telah kita siasat sebagai terlibat dengan ajaran sesat, memang kita kaunselingkan dia, berikan kesedaran, berikan amaran dan teguran supaya dia balik ke pangkal jalan agar tidak terlibat secara serius dan melarat lagi kesesatan dia itu,” katanya. -PAHANGMEDIA

