Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang bersedia meluluskan tanah bagi melaksanakan kerja-kerja pembinaan masjid sekiranya peruntukan bagi pembinaan berkenaan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pihak kerajaan telah pun memanjangkan permohonan peruntukan bagi pembinaan beberapa masjid di seluruh Pahang melalui Pejabat Pembangunan Negeri Pahang (SDO) dan masih lagi menunggu kelulusan.
“Ramai yang minta masjid, masjid ini sebenarnya kita telah kemukakan melalui SDO, kepada Kementerian Kewangan, Insyaa-Allah kalau dapat peruntukan (daripada Kerajaan Persekutuan), tanah tidak ada masalah, Kerajaan Negeri memberi komitmen, YAB Menteri Besar Pahang telah menyatakan apabila ada sahaja peruntukan daripada ‘federal’ (persekutuan), mendapat kelulusan sepertimana dipohon, tanah kita akan luluskan untuk dibina sekolah atau masjid, insyaaAllah, jadi kita hanya tunggu kelulusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kerajaan Pahang telah berjaya mewujudkan perjawatan di peringkat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menyediakan pengkhususan guru di sekolah-sekolah agama negeri.
“Kita telah berjaya mewujudkan perjawatan di bawah JPA sebanyak 392 orang di sekolah-sekolah agama Kerajaan Negeri (SMAN), maknanya betapa bersungguh-sungguhnya untuk mengimarahkan, menghidupkan 18 buah sekolah agama di Negeri Pahang, itu kita telah membelanjakan sebanyak RM32.4 juta bagi menanggung elaun dan gaji guru-guru di sekolah agama.
“InsyaaAllah kita akan beri perhatian serius kepada sekolah agama di Negeri Pahang ini sebaik-baiknya, kita buat secara bersungguh-sungguh,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, masyarakat Orang Asli di Pahang juga mendapat perhatian daripada Kerajaan Pahang apabila pelajar IPT turut menerima bantuan Komputer Riba, menerima Bantuan Perkahwinan dan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Orang Asli.
Dalam pada itu, kerajaan turut memberi tumpuan terhadap bekalan air luar bandar yang bertumpu di Kampung-Kampung Orang Asli dan kampung tradisional serta telah dilaksanakan dengan baik. – PAHANGMEDIA

