Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2024 : Kerajaan Negeri bersama Agensi Pengangkutan Awam (APAD) akan memantau pengoperasian perkhidmatan bas operator baharu dilantik agar memberikan perkhidmatan yang lebih baik bagi rakyat di Kuantan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, operator baharu pengoperasian bas di daerah Kuantan akan menggantikan Rapid Kuantan yang dijangka akan menamatkan pengoperasiannya tahun hadapan.
Katanya, antara perkhidmatan yang akan diberikan syarikat konsensi baharu itu nanti adalah dengan menyediakan pas bulanan RM50 tambahan yang boleh digunakan selama sebulan.
“Pelantikan operator yang baharu ini juga akan menyediakan Kad Konsesi untuk orang kelainan upaya (OKU), pelajar, dan warga emas dengan kos pendaftaran RM10 dikenakan secara sekali bayaran sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Tuan Chan Chun Kuang dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan bersama Rapid Kuantan (Prasarana) dan Agensi Pengangkutan Awam (APAD) pada 8 Oktober lalu bagi mendapatkan penjelasan mengenai pengoperasian bas di Kuantan.
“APAD telah membentangkan berkenaan tender terbuka yang dikeluarkan berkenaan Stage Bus Service Transformation 2.0 (SBST 2.0) di Kuantan dari tahun 2025 sehingga 2030. APAD memaklumkan Rapid Kuantan perlu meneruskan perkhidmatan bas ini sehingga Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan untuk tender ini,” katanya.
Menjawab soalan tambahan yang dikemukan YB. Tuan Chan Chun Kuang berkaitan nasib 103 pekerja Rapid Kuantan selepas operasi ditamatkan, YB. Dato’ Ir. Razali berkata, kesemua pekerja terbabit akan diberikan tiga pilihan.
“Pertama, pekerja ini diberi pilihan untuk sambung perkhidmatan mereka di negeri lain di mana ada operasi syarikat prasarana. Kedua, mereka akan cuba diserapkan dalam syarikat konsensi baharu. Pihak Rapid Kuantan juga mengharapkan cuba bincang dengan syarikat konsensi baharu ini. Ketiga, Rapid Kuantan akan membayar pampasan kepada pekerja yang memilih mendapatkan pampasan,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

