Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2024 : Sebanyak 168 daripada 270 menara komunikasi baharu dengan liputan 4G inisiatif di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 di negeri Pahang telah siap dibina dan beroperasi setakat 30 September tahun ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, manakala baki 102 menara lagi disasarkan untuk selesai beroperasi secara berperingkat sehingga suku kedua 2025.
Katanya, susulan dari inisiatif itu, kadar capaian liputan internet di kawasan berpenduduk negeri Pahang telah mencecah 99.33 peratus setakat suku ketiga tahun ini berbanding 81.80 peratus sebelum inisiatif terbabit mula dilaksanakan pada pertengahan 2020.
“Kadar capaian liputan 4G ini dijangka akan terus meningkat apabila kesemua menara baharu ini siap dan mula beroperasi,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, YB. Tuan Hasan Omar dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Katanya lagi, Kerajaan negeri Pahang bersama-sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah JENDELA bagi mengatasi masalah liputan rangkaian di kawasan pedalaman bermula pada pertengahan tahun 2020.
“Kerajaan Negeri Pahang juga telah melaksanakan inisiatif secara interim yang dikenali sebagai Pahang Rural Internet Services and Multimedia Access (PRISMA) bagi mengatasi masalah capaian internet 4G khususnya kawasan pedalaman, sementara menunggu perlaksanaan projek JENDELA oleh MCMC siap sepenuhnya.
“Pada tahun tahun ini, sebanyak 76 lokasi yang mempunyai masalah capaian internet 4G telah disediakan perkhidmatan jalur lebar satelit ini di seluruh Negeri Pahang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

