Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2024 : Negeri Pahang telah menerima peruntukan sebanyak RM2 juta tahun ini bagi pembangunan industri durian di Negeri Pahang termasuklah pemberian input tanaman durian.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata Pusat Pemprosesan Durian di negeri Pahang juga telah meningkat kepada 20 buah melibatkan daerah Bentong, Raub dan Jerantut.
Katanya, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan 30 projek durian yang melibatkan kawasan seluas 3016.54 hektar tanah Perbadanan Setiusaha Kerajaan Negeri Pahang (PSK).
“Di Bentong kita ada tujuh projek melibatkan keluasan tanah 277.68 hektar, di Kuantan ada tiga projek melibatkan 546.32 hektar, di Lipis kita ada enam projek melibatkan 681.07 hektar, di Maran ada satu projek melibatkan 16.6 hektar, di Raub ada sembilan melibatkan 1152.66 hektar dan di Temerloh ada empat projek melibatkan 342.1 hekta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB. Tuan Su Keong Siong dalam Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Pahang telah berperanan dalam memperkasa industri durian di negeri ini dengan melaksanakan beberapa program terpilih.
“Antaranya Program Pengembangan Teknologi (Transfer of Technology), bantuan khidmat nasihat secara teknikal, perundingan seperti pembukaan kawasan, pemilihan varieti yang berkualiti, kesesuaian tanah, kaedah pembajaan, kawalan penyakit dan perosak, pensijilan MyGap (Amalan Pertanian Baik), program lepas tuai, laluan pasaran dan penghasilan produk industri hiliran.
“Jabatan Pertanian Negeri Pahang juga turut membantu pengusaha durian mengeluarkan hasil yang berkualiti melalui amalan pertanian yang baik sehingga memperolen persijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) bagi memudahkan pengeksportan durian Musang King ke negara luar terutama negara China.
“Selain itu, sesi bengkel dan libat urus bersama pengusaha-pengusaha tanaman durian negeri Pahang dan pemain-pemain industri juga turut dilaksanakan bagi mengenalpasti masalah, penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dan latihan atau bantuan yang boleh diberikan kepada pengusaha durian di negeri Pahang,” ujarnya.
Menjawab soalan tambahan yang dikemukan ADUN Lantikan, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly berkenaan menjadikan Negeri Pahang sebagai hub pengeluaran duriaan negera, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi, Kerajaan Negeri Pahang bersetuju dengan cadangan yang dikemukan dan berhasrat untuk mejadikan Negeri Pahang sebagai hub pengeluaran produk premium termasuk durian Musang King. -PAHANGMEDIA

