Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024: Kerajaan Negeri telah melaksanakan 37 program merangkumi 10 kluster di bawah Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang pada tahun ini.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, program yang dijalankan adalah dari peruntukan sebanyak RM1 juta setiap tahun mengikut Matan Belanjawan yang telah diumumkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang bermula tahun 2022 sehingga 2026.
Katanya, antara program yang dijalankan termasuklah program Seminar Remaja Unggul Aspirasi Negeri Pahang di bawah Kluster Undang-undang yang dilaksanakan di enam daerah iaitu Temerloh, Maran, Kuantan, Rompin, Kuala Lipis dan Cameron Highlands.
“Turut diaadakan program lawatan ke Studio Hab Teknologi dan Ekosistem Inklusif dan program Misi Ekosistem Inklusif Lestari di bawah Kluster Keluarga, program Bidadari Sihat dan Emas di bawah kluster Kesihatan, program Perkasa Remaja Islam DPTWP di bawah kluster Agama dan program Bakat Kepimpinan Wanita Pahang di bawah kluster Kepimpinan.

“Selain itu, di bawah dasar ini juga turut telah mengadakan program Digitalisasi Cabaran, Peluang dan Insentif terkini di bawah kluster Pekerjaan, program Pemerkasaan Sains dan Teknologi Kanak-Kanak Asli Cameron Highlands di bawah kluster Teknologi, program Pemupukan Perkembangan Bahasa Melalui Inovasi Pendigitalan Pendidikan di bawah kluster Pendidikan, bengkel Pengukuhan Budaya dan Keterampilan Wanita Peringkat Negeri Pahang 2024 di bawah kluster Warisan dan Seni Budaya dan program Melestari Usahawan Wanita: Pemasaran Digital di bawah kluster Keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan ADUN Jenderak, YB. Dato’ Rodzuan Zaaba berkaitan program yang tlah dijalankan oleh Dasar dan pelan Tindakan Wanita Pahang Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam menjawab soalan tambahan yang dikemukakan ADUN Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain berkaitan sama ada program Aanggun Suri akan diteruskan lagi di masa akan datang, YB. Dato’ Sabariah berkata, ianya akan diteruskan lagi pada masa akan datang sebagaimana yang diumumkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang dalam Bajet Pahang 2025, Jumaat lepas.
“Tahun 2025 belum menjelang lagi tapi sudah ada yang bertanya untuk menyertai program ini pada tahun hadapan. Maksudnya mereka berterima kepada Kerajaan Negeri telah mewujudkan program ini bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan mengadakan majlis perkahwinan. Kita juga menjemput semua kaum bagi menyertai program ini,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

