Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024: Kerajaan Negeri Pahang sedang dalam usaha untuk mengeluarkan beras sendiri bagi menangani masalah kekurangan beras tempatan di pasaran.
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang berkata, kelulusan bagi pengeluaran beras negeri ini itu telah diberikan kepada syarikat Konsortium Padi dan Beras Rakyat Sdn Bhd di mana ianya masih dalam peringkat penyediaan perjanjian kerjasama dan perbincangan.
Katanya, penghasilan padi negeri ini pada tahun lalu adalah sebanyak 18, 372 tan metrik dengan penghasilan beras sekitar 11,023 tan metrik berdasarkan perolehan 60 peratus selepas pembuangan sekam padi.
Tambahnya, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk meluaskan tanaman padi di negeri ini di mana sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 86.2 hektar kawasan diperuntukkan untuk penanam padi di bawah seliaan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) melibatkan daerah Rompin, Pekan dan Maran.
“Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sendiri telah menyokong inisiatif menanam padi di Pekan yang bertujuan meningkatkan produktiviti pengeluaran beras khususnya di Pahang untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan ADUN Panching, YB. Tuan Haji Mohd Tarmizi Yahaya berkaitan status bekalan beras tempatan negeri ini dan jumlah beras yang mampu disediakan Kerajaan negeri bagi membantu rakyat dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Bagi menjawab pertanyaan berkaitan penyediaan beras tempatan bagi membantu rakyat khususnya golongan B40 di negeri ini, YB. Tuan Sim berkata, pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi program Jualan Makmur Kluster Perayaan.
“Untuk golongan B40, di bawah portfolio saya, kita ada menjalankan program Jualan Rahmah dan Jualan Makmur. Bermula Oktober 2024, pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) telah mengadakan Jualan Rahmah di seluruh DUN di negeri Pahang.
“Jika berminat nak adakan jualan rahmah di kawasan sendiri, boleh mohon kepada saya sendiri dan saya selaraskan dengan KPDN. Jadi, beras murah dijual di Jualan Rahmah, Jualan makmur dan Jualan Agro Madani di bawah FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan),” ujarnya. -PAHANGMEDIA

