Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024 : Kerajaan Pahang memperkasakan golongan belia di Pahang menerusi kerjasama yang kini sedang dalam perbincangan bersama dengan Belia Sarawak (SEBERKAS) menerusi program khas dan seminar di Bumi Kenyalang itu nanti.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerjasama strategik ini dirancang sebagai usaha agar dapat menyediakan ruang pembelajaran kepada belia Pahang dalam pelbagai aspek pembangunan di mana belia Sarawak dilihat lebih trampil dan terkehadapan dalam pelbagai bidang.
“Sekarang kita sedang merintis kerjasama dengan Kerajaan Sarawak, untuk belia di Pahang belajar dengan belia Sarawak dan saya sendiri telah bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Sarawak, YB. Dato’ Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Sarawak dan ternyata belia di sana memang lebih trampil dan terkehadapan, banyak yang kita boleh belajar dan sekarang kita sedang mengadakan kerjasama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, YB. Tuan Mohd Sharim Haji Md Zain pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Pahang juga komited melaksanakan empat inisiatif bagi meningkatkan kualiti kepimpinan pemimpin belia sekaligus menggalakkan golongan tersebut untuk bergiat aktif dalam pertubuhan-pertubuhan belia iaitu Program Pemerkasaan Persatuan Belia Pahang (Youth Empowerment Society – YES Pahang), Festival Belia Pahang, Sekolah Kepimpinan Tun Abdul Razak dan Persidangan Dewan Belia Negeri Pahang.
Jelasnya, pada Disember ini juga akan diadakan Retreat Pemimpin Muda Pahang melibatkan lebih kurang 100 belia terpilih dari Negeri Pahang sebagai rangkuman kepada empat inisiatif yang telah dilaksanakan dalam memperkasakan golongan itu.
“Untuk program seterusnya adalah rangkuman kepada usaha-usaha kita ini Insya-Allah pada bulan ini, buat julung kalinya kita akan menganjurkan Retreat Pemimpin Muda Pahang melibatkan lebih kurang 100 belia terpilih dari Negeri Pahang yang berbeza latar belakang profesional, kemahiran untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang perjalanan panjang Kerajaan Negeri Pahang ini dan pada masa yang sama kita nak dengar dariada anak-anak muda terpilih ini apa masalah, cabaran, keperluan, kehendak dan permintaan anak-anak muda ini terhadap Kerajaan Negeri Pahang.
“Kerana kita yakin bahawa zaman Kerajaan tahu segala-galanya sudah lama berakhir, kita hendak dengar sendiri daripada anak muda ini keperluan mereka, sesuai dengan cabaran masa kini, insyaaAllah kita akan pertimbang dan perhalusi segala permintaan dan keluhan ini untuk kita angkat mana yang sesuai,” katanya. – PAHANGMEDIA

