Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024 : Negeri Pahang menerima jumlah projek pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM22.67 bilion menerusi 15 projek berdasarkan Memorandum Perjanjian yang dimeterai (MoA) bermula 2022 sehingga Jun 2024.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, jumlah pelaburan langsung asing komited telah meningkat daripada RM11.01 bilion pada 2022 kepada RM11.666 bilion pada 2023.
“Namun bagi pelaburan berpotensi FDI bagi tahun 2024 masih lagi dalam peringkat rundingan dan tindakan oleh S-GLC yang berkenaan dengan pihak pelabur.
“Tambahan dari itu, jumlah projek pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan lesen pengilang (Manufacturing License) di bawah bidang kuasa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh 2022 sehingga bulan Jun 2024 bagi Negeri Pahang adalah sebanyak 30 projek berjumlah RM1.32 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, YB. Tuan Su Keong Siong pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Jelasnya, jumlah FDI berdasarkan kelulusan lesen pengilang oleh MIDA juga telah menunjukkan peningkatan drastik pada tahun 2023 iaitu sebanyak RM886 juta berbanding RM27.3 juta pada 2022.
Beliau berkata, Negara China telah melabur dalam lima projek dengan jumlah nilai FDI komited berjumlah RM14.489 bilion dan sebanyak tiga projek dari negara sama telah diluluskan Lesen Pengilang oleh MIDA berjumlah RM22.54 juta. – PAHANGMEDIA

