Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024: Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syariah Negeri Pahang yang telah diwujudkan oleh Kerajaan Negeri di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bertujuan memperkasakan lagi undang-undang dan enakmen Syariah negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad jawatankuasa berkenaan di bawah seksyen & Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 [Enakmen No. 3 tahun 1991] juga berfungsi mengkaji dan menyemak undang-undang syariah sedia ada.
Katanya, jawatankuaasa terbabit dipengerusikan oleh YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan dianggotai oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Pahang, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnipSAS) dan beberapa orang ahli lain yang berkemahiran dan arif dalam bidang undang-undang Syariah.
“Suka saya nak menceritakan, memanglah rang undang-undang atau enakmen Syariah ini berlaku perubahan dan anjakan dari semasa ke semasa. Akhirnya pada 1991, kita mendapat kelulusan dari Parlimen untuk memperkasakan jawatankuasa membentuk enakmen dan juga rang undang-undang ini sehingga kita dapat mewujudkan Mahkamah Syariah secara berasingan.
“Ia bersendirian dan ia mempunyai bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Dewan Negeri yang mulia ini untuk mereka membicarakan beberapa enakmen yang diperuntukkan kuasa kepada mereka dan Alhamdulillah kita sedang nampak perkembangan dari semasa ke semasa sentiasa kita perkasakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukan ADUN Lantikan, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly berkaitan cadangan untuk Kerajaan Negeri menubuhkan jawatankuasa mengkaji pelbagai enakmen dan undang-undang pentadbiran Islam Pahang yang perlu pindaan dan penambahbaikan dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim dalam pada itu berkata, pihaknya menghargai cadangan yang dikemukan ADUN Lantikan berkenaan bagaimanapun menegaskan sekali lagi, jawatankuasa berkenaan telahpun ditubuhkan.
“Untuk makluman ADUN Lantikan, bahawasanya di dalam jawatankuasa untuk mewujudkan rang undang-undang itu bukan sahaja ada Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang dan Penasihat Undang-Undang, kita ada juga Ketua Hakim Syari’e dan pengamal undang-undang. Justeru itu saya amat menghargai cadangan berkenaan walaupun Kerajaan Negeri telah melaksanakannya,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

