Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024 : Negeri Pahang berjaya mengekalkan status sebagai peneraju perikanan di Pantai Timur apabila jumlah keseluruhan pengeluaran ikan makan pada tahun 2023 meningkat sebanyak 6 peratus dari sudut kuantiti dan 15 peratus dari sudut nilai berbanding 2022.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, jumlah keseluruhan ini merangkumi ketiga-tiga subsektor perikanan iaitu perikanan tangkapan (laut) RM910 juta, akuakultur (RM354 juta) dan perikanan darat (sungai) RM53.5 juta.
“Jumlah keseluruhan pengeluaran ikan makan merangkumi ketiga-tiga subsektor – perikanan tangkapan (laut), akuakultur dan perikanan darat (sungai) bagi Negeri Pahang pada tahun 2023 ialah 136,853 tan metrik yang bernilai RM1.32 bilion.
“Ia merupakan peningkatan kira-kira 6 peratus dari sudut kuantiti dan 15 peratus dari sudut nilai berbanding tahun 2022 iaitu 129,522 tan metrik yang bernilai RM1.15 bilion. Ia adalah yang tertinggi di Pantai Timur sekaligus mengekalkan status Negeri Pahang sebagai peneraju perikanan di Pantai Timur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat beberapa faktor kelebihan bagi subsektor perikanan tangkapan di Pahang iaitu kemudahan infrastruktur di jeti perikanan kendalian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan harga pasaran ikan yang kompetetif.
Bagi memperkasa industri akuakultur di Pahang, kerajaan sedang melaksanakan Projek Pembangunan Integrasi Akuakultur (PPIA Sistem Sangkar Bersepadu) bernilai kira-kira RM6.89 juta pada tahun ini membabitkan lima daerah, 11 kluster dan 43 peserta.
Jabatan Perikanan akan terus memperkasakan kedua-dua Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) di Bukit Tinggi, Bentong dan Perlok, Jerantut bagi pengeluaran benih ikan ternakan yang telah mencapai pengeluaran sehingga 5 juta ekor pada 2024 berbanding 4.9 juta pada 2023. – PAHANGMEDIA

