Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024 : Kerajaan Pahang bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sentiasa serius menangani aspek kebersihan alam sekitar dengan melaksanakan pelbagai usaha melibatkan kempen dan program kesedaran.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, segala usaha ini adalah sejajar Dasar Kebersihan Negara (DKN) yang merupakan inisiatif kerajaan bagi mewujudkan negara bersih, mampan dan sejahtera melalui pembudayaan amalan kitar semula di kalangan industri, komuniti dan masyarakat dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Menurutnya, bagi melaksanakan usaha ini, KPKT telah mewartakan dua peraturan (2018) dan penguatkuasaan (2020) di semua negeri yang menerima pakai Akta 672 berkaitan sisa pepejal komersil, perindustrian dan keinstitusian.
“Penguatkuasaan peraturan ini akan dapat mengawal lambakan sisa pepejal dan pembuangan sampah secara haram khususnya sisa komersil, perindustrian dan keinstitusian dan seterusnya mengurangkan sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan. Kementerian juga akan mengambil tindakan denda kepada penjana sisa yang gagal mematuhi perkara-perkara di bawah peraturan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, YB. Tuan Chan Chun Kuang pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Jelasnya, peraturan ini telah digunapakai di semua negeri yang menerima pakai Akta 672 termasuk 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh daerah di Pahang.
Menjawab soalan tambahan dari YB. Tuan Chan Chun Kuang berhubung pelaksanaan akta sama di Negeri Perak, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, Kerajaan Pahang akan meneliti dan melihat faktor-faktor kejayaan pelaksanaan di negeri tersebut untuk dicontohi demi kesejahteraan rakyat di Pahang termasuklah pengusaha Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) di kawasan Indera Mahkota.
“Kerajaan akan meneliti dan melihat apa yang telah dilakukan di negeri2 lain, contohnya kita belajar daripada negeri yang telah berjaya melaksana program ini, jadi kita akan tengok daripada negeri Perak apa yang telah dilaksanakan yang boleh membawa kesejahteraan dan kebaikan kepada pengusaha2 SME termasuklah memberi peruntukan2 bagi membantu meringankan bebanan kewangan yang dihadapi pengusaha2 SME termasuklah rakyat negeri Pahang untuk mensejahterakan rakyat di Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA

