Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024 : Kerajaan Pahang memberi jaminan bekalan makanan berasaskan sumber perikanan adala mencukupi di Negeri Pahang pada sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, ini berdasarkan rekod pendaratan ikan pada tahun 2023 yang menunjukkan Pahang dapat menghasilkan pengeluaran atau pendaratan yang berlebihan.
“Pada masa sekarang bekalan makanan daripada sumber perikanan adalah mencukupi di Negeri Pahang. Jika kita merujuk kepada rekod pendaratan ikan tahun 2023 iaitu terdapat 136,853 tan metrik (TM) setahun yang bernilai RM1.32 bilion, ini didaratkan di Pahang Darul Makmur.
“60,863 TM setahun dan kalau dikira dan dibahagikan pula dengan bulan, terdapat lebihan sebanyak 5,071 TM yang boleh kita pasarkan ke luar dari Negeri Pahang, jadi maknanya bekalan untuk makluman, Alhamdulillah bekalan ikan di Negeri Pahang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB. Dato’ Sri Mohd Johari Hussain pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Menjawab pertanyaan kedua berhubung tindakan kerajaan dalam membantu pengusaha penternak ikan sangkar yang terjejas banjir, beliau berkata, bantuan disalurkan melalui Jabatan Perikanan sejak tahun 2020 dengan nilai bantuan RM307,425 kepada 45 penternak, RM463,000 kepada 179 penternak (2021), RM1.95 juta kepada 275 penternak (2022), RM192,470.85 kepada 42 penternak (2023) dan RM589,301 kepada 67 penternak yang terlibat kejadian bencana banjir dan El Nino pada awal 2024.
Bantuan diberikan dalam bentuk makanan ikan bagi musim baharu penternakan ikan mereka dalam bentuk input perikanan. – PAHANGMEDIA

